KUALA LUMPUR 21 Mac - GX Bank Berhad melancarkan ‘Impian GIGih’, misi bank untuk memacu rangkuman dan kecelikan kewangan bagi memperkasakan segmen masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan.
Ketua Pegawai Eksekutif GXBank, Pei Si Lai berkata, misi bank untuk keterangkuman kewangan sebati dengan operasi bank sejak awal penubuhannya.
"Sebagai sebuah bank digital Malaysia, bank kami berakar umbi daripada misi kami. Mengimbas kembali selepas kami beroperasi selama 100 hari, kami amat rendah diri dan menghargai sokongan rakyat Malaysia dan rakan-rakan kongsi kami.
"Ia memberi kami inspirasi dan dorongan untuk memperkenalkan produk baharu dan menambah baik aplikasi GX, seperti pembayaran QR dan ketersediaan versi Bahasa Melayu.
"Ini selaras dengan objektif kami, untuk memperluaskan akses perkhidmatan kewangan terutamanya kepada golongan yang memerlukannya," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Menurut Lai, usaha awal Impian GIGih berlangsung pada akhir Februari lepas, ketika ibu bapa sibuk membuat persiapan untuk hari pertama persekolahan anak-anak mereka.
Katanya, bersama dengan rakan-rakan perintis, Mydin dan GoBarakah, GXBank mengagihkan bantuan kewangan secara maya dan fizikal kepada mereka yang paling memerlukannya.
"Sebanyak 500 kit kembali ke sekolah diedarkan kepada anak-anak dari keluarga B40 dan pemandu Grab di Kelantan dan Johor Bahru," katanya.
Katanya, GXBank bekerjasama dengan GoBarakah untuk menyediakan e-baucar kepada penerima manfaat yang berdaftar melalui platform tersebut.
"e-Baucar boleh digunakan untuk membeli keperluan sekolah sepanjang tahun di vendor-vendor terpilih di seluruh negara," katanya.
Tambah Lai, GXBank merancang untuk memperluas inisiatif kembali ke sekolah dengan menawarkan biasiswa pendidikan tinggi kepada anak-anak pekerja gig, ibu bapa B40 dan memberi kuasa transformatif celik huruf untuk memecahkan kitaran kemiskinan.
"Pendidikan mampu mempengaruhi masa depan mereka. Dengan memperkasakan mereka dengan maklumat dan produk kewangan yang betul, ibu bapa dapat menjamin masa depan anak-anak mereka tanpa beban kewangan tambahan.
"Rangkaian rakan kongsi seperti GoBarakah dan Mydin dapat membantu kami mempertingkatkan usaha kami secara jitu dan mampan," katanya. - DagangNews.com








