KUALA LUMPUR 12 Julai - Tower Real Estate Investment Trust (Tower REIT) milik Guocoland menawarkan khidmat pengubahsuaian pejabat fleksibel melalui kerjasama bersama EzyOffice kepada mana-mana pemilik perniagaan yang menyewa di Menara HLX, Jalan Kia Peng, di sini.
Terletak di tengah bandar Kuala Lumpur, menara yang sebelum ini dikenali sebagai Menara HLA, telah membawa inovasi yang bakal memudahkan penyewa.
Dikenali sebagai “Office Made Ezy”, perkhidmatan sehenti menyeluruh untuk pengubahsuaian pejabat ini merupakan servis pertama seumpamanya di Malaysia. Melalui servis ini, penyewa baru boleh memilih dari beberapa templat dan pelbagai variasi unit ruang kerja telah tersedia untuk keluasan dari 2,000 kps sehingga 13,000 kps.
Ketua Pegawai Eksekutif Tower REIT, Noorbaizura Hermeyney berkata, bakal penyewa hanya perlu memilih templat tersedia di platform EzyOffice untuk penyesuaian khas selanjutnya.
Beliau berkata, pakej yang disediakan mempunyai pilihan komprehensif termasuk perabot pejabat, dinding pemisah asas, dinding, kemasan lantai dan siling serta pemasangan mekanikal dan elektrik.
“Secara amnya, penyewa baru dapat menjimatkan masa, mengurangkan kerumitan renovasi dan mempercepatkan proses renovasi supaya dapat memulakan operasi mereka secepat mungkin tanpa perlu bimbang mengenai aspek pembinaan atau penghiasan ruang dalaman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Noorbaizura, kebiasaannya, pemilik bangunan mungkin mempunyai panel syarikat rekaan dalaman yang akan disyorkan kepada pelanggan, tetapi proses konvensional ini mengambil masa lama.

"Dengan EzyOffice, penyewa hanya perlu memilih dari templat susun atur dan pelan lantai yang tersedia untuk membuat keputusan yang lebih cepat. Selain itu, Tower REIT mungkin akan menggunakan konsep yang sama di Plaza Zurich pada masa akan datang," katanya.
Pengasas dan Pengarah Urusan EzyOffice, Teo Khai Lee pula berkata, mereka teruja dengan peluang untuk bekerjasama dengan Menara HLX kerana dapat membuktikan kepakaran dalam rekaan dalaman komersial dan servis pengubahsuaian.
"EzyOffice memberi nilai tambahan kepada penyewa dengan mendigitalkan konsep dan idea pejabat, seterusnya membentangkannya dalam format yang mudah difahami. Kami bukan sahaja syarikat rekaan dan renovasi, kami juga telah melebarkan sayap untuk memberikan servis sewaan perabot pejabat juga teknologi pengurusan ruang,” katanya.
Dalam usaha untuk memartabatkan industri reka dalaman dan pemasangan di Malaysia, rekaan templat EzyOffice memenuhi keperluan pekerjaan yang berbeza samada secara hibrid (kegunaan pekerja yang bekerja di rumah dan juga pejabat), kompak (sesuai untuk perniagaan pusat panggilan) atau keperluan asas (ruang kerja konvensional yang lengkap dengan bilik pengarah, bilik mesyuarat dan sebagainya).
Untuk yang berminat untuk berpindah ke Menara HLX atau untuk mencuba platform EzyOffice, anda boleh layari https://www.ezyoffice.com.my/office-made-ezy. - DagangNews.com








