KUALA LUMPUR 16 Jan - GHL Systems Berhad (GHL) meneruskan pelancaran PayLater by Grab untuk peniaga di premisnya, yang mana memberikan pengguna kelonggaran untuk membuat pembayaran pada bulan berikutnya atau secara empat ansuran bulanan, dengan faedah 0%.
Peniaga sedia ada GHL, termasuk All IT Hypermarket, Afterspring International, Thunder Match Technology, Astro GS dan banyak lagi.
Melalui perkongsian yang diperluaskan dengan Grab Malaysia ini, peniaga menggunakan terminal GHL yang kini boleh menawarkan pembeli mereka lebih banyak pilihan pembayaran apabila membuat pembelian di kedai fizikal.
Ketua Pegawai Eksekutif GHL Malaysia, Kevin Lee berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan Grab Malaysia untuk melanjutkan PayLater kepada peniaganya.
Beliau berkata, tawaran ini mampu memperkasakan kedua-dua pedagang dan pengguna, terutamanya pada masa selepas pandemik ini dengan jangkaan peningkatan trafik pejalan kaki.
"Menerusi PayLater, pengguna boleh mengekalkan belanjawan mereka dan memperoleh kuasa beli yang lebih besar, sambil memacu jualan untuk peniaga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebagai rakan kongsi pelancaran, pedagang GHL dan salah sebuah peruncit elektronik terkemuka, Kumpulan Senheng, telah memperluaskan kepada lebih 100 cawangan Senheng dan senQ di Malaysia untuk PayLater by Grab yang menawarkan pembayaran fleksibel kepada 3.57 juta pelanggan setia mereka.
Pengerusi Eksekutif Senheng, Lim Kim Heng berkata, melalui masyarakat yang semakin digital, permintaan yang konsisten untuk elektronik pengguna akan terus berkembang.
"Julat pembayaran kami yang diperluaskan termasuk pilihan 'beli sekarang bayar kemudian' untuk pelanggan kami akan membantu menyokong kemampuan di tengah-tengah kenaikan inflasi dan kadar faedah, serta meningkatkan jenama kami sebagai peruncit omnichannel," katanya.
Ketua Pembayaran e-dagang dan Insurans Grab Malaysia, Lim Tien Ming pula berkata, perkongsian dengan GHL adalah tepat pada masanya kerana pengguna kini lebih terbuka untuk membeli sekarang dan membayar kemudian.
"PayLater merupakan perkembangan semula jadi dalam evolusi tawaran kewangan kami yang luas melalui platform kami memberikan lebih fleksibiliti dan menggalakkan pembeli membeli-belah secara bertanggungjawab," katanya. - DagangNews.com








