Geran padanan latihan industri mampu jadikan PKS Malaysia majikan pilihan - SAMENTA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Geran padanan latihan industri mampu jadikan PKS Malaysia majikan pilihan - SAMENTA

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Mac - Geran Padanan Latihan Industri untuk PKS (LiKES) yang dilancarkan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim merupakan pemangkin bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam merekrut pekerja mahir di dalam keadaan kekangan bakat semasa.

 

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng berkata, LiKES yang ditadbir oleh TalentCorp, menambah elaun latihan sebanyak RM250 dan RM300 bagi setiap pelatih (sebulan) untuk pelajar diploma dan ijazah masing-masing. 

 

Katanya, ia menjadikan PKS lebih menarik kepada bakal pelatih dan memberi peluang kepada PKS untuk mengupah pelatih-pelatih tersebut secara kekal selepas tamat pengajian.

 

"Terdapat tanggapan bahawa PKS kurang menarik sebagai majikan. Hakikatnya, terdapat juga pelbagai PKS yang menawarkan pakej gaji dan faedah setanding dengan syarikat tempatan yang lebih besar," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Terdahulu media melaporkan, LiKES merupakan inisiatif baharu di bawah TalentCorp, membabitkan keseluruhan geran padanan RM30 juta oleh kerajaan yang akan memanfaatkan 30,000 pelatih amali.

 

Menurut Ng, tinjauan pada 2020 oleh SME100 dan firma penasihat HR global, Towers Watson serta disokong SAMENTA mendedahkan, PKS di Malaysia berada di hadapan dalam penglibatan pekerja berbanding rakan serantau. 

 

Katanya, PKS tempatan mendapat markah sebanyak 90% dalam pendapat pekerja iaitu 6% lebih baik daripada purata serantau.

 

"Tidak seperti bekerja di syarikat yang lebih besar, latihan bersama PKS menyediakan akses terus kepada pemilik syarikat dan skop pengalaman yang lebih luas memandangkan organisasi PKS yang lebih nipis. 

 

"Ini membolehkan pengalaman latihan amali yang lebih bermakna bersama PKS," katanya.

 

Tambahnya, SAMENTA akan bekerjasama dengan TalentCorp untuk mengenal pasti majikan PKS yang progresif untuk tujuan program itu dan menyediakan lebih banyak pilihan kepada golongan muda untuk menjalankan latihan amali mereka. - DagangNews.com