Frank Kang dilantik sebagai pengurus negara baharu Antler Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Frank Kang dilantik sebagai pengurus negara baharu Antler Malaysia

Frank Kang
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Syarikat modal teroka global, Antler mengumumkan pelantikan Frank Kang sebagai rakan sekutu dan pengurus negara untuk Malaysia bagi  bagi menerajui strategi pelaburan dan operasi syarikat di negara ini.

 

Pelantikan jawatan kanan utama ini mengukuhkan lagi komitmen Antler untuk melabur dalam syarikat-syarikat pemula pada peringkat awal dan memberi sokongan kepada pengasas yang cemerlang di rantau ini.

 

Dengan memanfaatkan pengalaman keusahawanan beliau yang luas, Frank akan memainkan peranan penting dalam memperkasakan para pengasas syarikat dari Malaysia untuk berfikiran global dan mengembangkan perniagaan mereka merentasi sempadan.

 

Beliau berkata, sebagai seorang individu yang tidak dapat menamatkan pengajian sekolah tinggi dan pernah mengalami kegagalan serta juga kejayaan pada peringkat awal kerjaya, beliau teruja untuk membantu para pengasas membina dan mengembangkan perniagaan yang boleh membawa kesan positif kepada dunia.

 

"Saya percaya bakat tempatan Malaysia memiliki potensi yang besar dan kami akan dapat membantu mereka berfikir secara global," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Pengasas Bersama dan Rakan Pengurus Asia Antler, Jussi Salovaara berkata, pihaknya berbesar hati menerima Frank sebagai sebahagian usaha Antler untuk mengukuhkan syarikat secara global meliputi 26 buah bandar raya termasuk Malaysia. 

 

Katanya, Antler komited untuk menyokong usahawan dan mengejar visi kami untuk mencapai kemajuan yang berterusan.

 

"Dengan rekod prestasi Kang yang terbukti dalam membina perniagaan yang boleh dikembangkan di Asia, pengalaman beliau yang luas sudah tentu akan meningkatkan kesan keusahawanan warga Malaysia merentasi sempadan," katanya.

 

Sebagai seorang usahawan, Frank membawakan pengalaman kemahiran keusahawanan yang meluas selama 17 tahun dalam pelbagai industri.

 

Perjalanan beliau dalam dunia keusahawanan bermula apabila beliau menjadi pengasas bersama sebuah perkhidmatan rangkaian sosial pada usia 23 tahun yang mana beliau berjaya mendapatkan pelaburan dari sebuah syarikat pegangan pelaburan multinasional Jepun, SoftBank. 

 

Frank kemudiannya meneroka Lembah Silikon yang mana beliau telah membawa perkhidmatan Twitter ke Korea. Langkah beliau ini menyaksikan kewujudan salah sebuah direktori Twitter yang terbesar di Korea dengan lebih dua juta pengguna pada masa itu. 

 

Sekembali beliau ke Malaysia, Frank memperoleh platform e-dagang terkemuka, everyday.com.my (dijenamakan semula sebagai LivingSocial Malaysia) dan mengembangkan pasukan platform ini daripada tujuh kepada lebih 160 orang pekerja. 

 

Seterusnya, Frank telah mengasaskan Althea, sebuah platform kecantikan tersohor Korea yang menawarkan jenama-jenama vertikal digital tempatan. Althea berjaya mengumpulkan dana daripada para pelabur institusi global.

 

Sebelum dilantik menyertai Antler, beliau merupakan Rakan Teroka Vynn Capital dan juga pelabur penyumbang modal serta penasihat. - DagangNews.com