KUALA LUMPUR 2 Sept - Frac Sdn Bhd, sebuah syarikat inovatif dalam teknologi Web3 memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan TRAXX IT Services Pte. Ltd. bagi membangunkan sistem pembayaran bersepadu yang membolehkan pelanggan perusahaan menukar mata wang fiat kepada token pembayaran digital dengan mudah.
Perkongsian itu bertujuan untuk merapatkan jurang antara sistem kewangan tradisional (Web 2.0) dan landskap kewangan inovatif (Web 3.0) yang berkembang pesat, mewujudkan pengalaman yang lebih mudah diakses dan mesra pengguna, sering dirujuk sebagai Web 2.5.
Menerusi MoU itu, FRAC dan penyedia perkhidmatan pembayaran itu akan bekerjasama untuk mengubahkan interaksi mata wang fiat dan token pembayaran digital dalam ekosistem perusahaannya serta memacu penggunaan token berasaskan blockchain.
Selain itu, perkongsian itu menggariskan tanggungjawab utama kedua-dua pihak, dengan FRAC menerajui dalam membangunkan dan menggunakan platform tokenisasi bagi memudahkan pembahagian aset.
Platform tersebut juga akan disepadukan dengan perkhidmatan pemprosesan pembayaran TRAXX melalui API teguh yang disediakan oleh pasukan pembangunan TRAXX.
Penyepaduan ini akan menyokong pelbagai skim kad seperti NETS, Visa, Mastercard, JCB dan CUP bagi memastikan pelbagai pilihan pembayaran untuk pengguna akhir.
Ketua Pegawai Eksekutif FRAC, Japhet Lim Wei Jie berkata, perkongsian dengan TRAXX itu mewakili satu langkah besar ke hadapan dalam memberikan peluang kepada orang ramai untuk mengakses token asset berasaskan blockchain.
"Dengan membolehkan urus niaga fiat-ke-digital dan digital-ke-fiat yang lancar, kami akan meningkatkan fungsi platform token kami dan juga membuka jalan bagi penggunaan teknologi web3 yang lebih meluas merentas pelbagai sektor,” ujar beliau.
Pengarah Urusan FRAC, Derek Han berkata, perkongsian itu sejajar dengan misi kami untuk berinovasi dan menyokong pertumbuhan perkhidmatan kewangan digital.
Tumpuan penting kerjasama itu ialah pembangunan aliran pembayaran bukti konsep (POC) untuk sekurang-kurangnya seorang rakan kongsi perusahaan FRAC.
POC tersebut akan menunjukkan kebolehlaksanaan untuk membeli token dalam rantaian menggunakan mata wang fiat, menandakan peristiwa penting dalam perjalanan ke arah penggunaan besar-besaran token aset dunia sebenar berasaskan blockchain.
Perkongsian itu juga akan mempromosikan rumusan bersepadu itu kepada rakan kongsi perusahaan yang berpotensi dan sedia ada, terutamanya dalam sektor aset mewah, badan bukan kerajaan (NGO) dan harta intelek.- DagangNews.com








