KUALA LUMPUR 22 Julai - Ford Motor Company bersama rakan pengedar tempatannya, Sime Darby Auto Connexion (SDAC), memperkenalkan Ford Ranger generasi baharu untuk pasaran Malaysia.
Model Ford Ranger baharu ditawarkan dalam tujuh varian, termasuk XL, XLT, XLT Plus dan WildTrak. Ranger Raptor berprestasi tinggi akan dilancarkan pada suku keempat pada tahun ini.
Sempena ketibaan Ford Ranger generasi terbaru ini, SDAC juga memperkenalkan beberapa perkhidmatan lepas jualan terkini yang akan memberikan pengalaman lebih baik buat pemiliknya.
Presiden Pasaran Pengedar Asean dan Asia Pasifik Ford Motor, Yukontorn Wisadkosin berkata, Ranger generasi baharu akan terus membawa revolusi dalam segmen trak pikap dan mempertingkatkan lagi daya tarikannya yang sedia hebat dalam pasaran.
"Ranger sentiasa menjadi rakan yang selalu boleh diharapkan untuk peniaga kecil, keluarga, peminat kembara, kegunaan komersial dan banyak lagi di lebih 180 pasaran seluruh dunia.
“Malaysia adalah salah satu pasaran utama dalam Asia Pasifik dan kami terus melihat pertumbuhan produk kami di pasaran Malaysia yang kini berada pada tiga peratus tahun ke tahun,” katanya semasa pelancaran Ford generasi baharu hari ini.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan SDAC, Turse Zuhair berkata, corak penggunaan trak pikap yang lebih daripada sekadar untuk kerja memang telah berkembang di Malaysia, terutama dalam golongan berpendapatan tinggi.
"Mereka sebelumnya lebih memilih menggunakan SUV, tetapi kini semakin cenderung terhadap Ranger, terutama WildTrak, disebabkan kebolehannya untuk tujuan kerja, teknologi terbaru dan ruang dalaman seakan kereta premium.
"Kami yakin Ranger generasi baru akan memenuhi keperluan dan kemahuan khalayak yang lebih luas sebagai kenderaan serba boleh untuk kerja, keluarga dan riadah," katanya.

Sementara itu, harga untuk barisan Ranger baharu bermula pada RM108,888.
Ranger generasi baru menyediakan pilihan dua warna iaitu Sedona Orange dan Luxe Yellow untuk Wildtrak, selain warna sedia ada iaitu Arctic White, Meteor Grey, Aluminium Metallic, Lightning Blue dan Absolute Black (bergantung kepada varian).

Selain jaminan standard lima tahun, pelanggan juga boleh memilih jaminan lanjutan sehingga tujuh tahun. - DagangNews.com







