KUALA LUMPUR 21 Ogos - foodpanda memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Antarabangsa Manipal (MIU) untuk bekerjasama dan memberi peluang kepada rakan penghantar untuk mengejar pendidikan peringkat tinggi.
Inisiatif ini bertujuan untuk membantu rakan-rakan penghantar meningkatkan kemahiran dan kelayakan yang diperlukan untuk memajukan kerjaya mereka.
Menerusi kerjasama itu, lima rakan penghantar yang tekun telah dipilih untuk menyertai kursus Diploma Pengurusan Perniagaan tajaan selama dua tahun.
Kursus ini ialah sebahagian daripada kursus komprehensif yang ditawarkan oleh MIU. Bagi menyokong dan memastikan mereka dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran, foodpanda akan menyediakan komputer riba dan penginapan asrama yang percuma untuk mereka sepanjang tempoh dua tahun kursus berkenaan.
Ketua Bahagian Logistik foodpanda Malaysia, Shubham Saran berkata, pihaknya komited untuk memupuk dan melabur dalam masa depan rakan-rakan penghantar yang merupakan nadi dan jiwa perniagaan mereka.
"Kami sentiasa berasa bangga dengan dedikasi dan usaha gigih mereka. Oleh sebab itu, kami sangat teruja untuk menyokong dan menyaksikan kejayaan mereka dalam mencapai masa hadapan dan kualiti hidup yang lebih baik," katanya dalam kenyataan media di sini.
Naib Canselor Universiti Antarabangsa Manipal, Prof Dr Jason Fitzsimmons pula berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengalu-alukan ‘rider’ foodpanda ke kampus dan memberi mereka satu peluang unik untuk mengubah kehidupan mereka.

"Kerjasama ini menonjolkan kuasa pendidikan dalam memacu perubahan positif. Kami berharap bahawa apa yang telah kami mulakan hari ini akan membuka peluang untuk menjalini kerjasama stategik dalam membangunkan rakyat serta ekosistem ekonomi ‘gig’ di Malaysia secara keseluruhan," katanya.


Kerjasama ini selaras dengan komitmen yang diberikan oleh foodpanda kepada kerajaan Malaysia susulan sesi pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sesi tersebut menekan kepentingan meningkatkan pembiayaan negara demi peningkatan kemahiran, program latihan, dan inisiatif-inisiatif lain yang bertujuan untuk meningkatkan jaringan keselamatan sosial bagi komuniti rider p-hailing. - DagangNews.com








