KUALA LUMPUR 9 Mac - foodpanda Malaysia menawarkan pelbagai insentif untuk semua rakan penghantaran untuk suku pertama tahun ini agar mereka dapat mengembangkan kerjaya.
foodpanda dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka terus memperjuangkan kepentingan pendidikan dengan menampung yuran pengajian universiti atau kolej sehingga setahun untuk lima rakan penghantarannya terpilih.
Pengarah Operasi foodpanda Malaysia, Kelvin Chan berkata matlamat syarikat adalah untuk memberi ganjaran dengan menampung yuran pengajian rakan penghantaran memandangkan kebanyakan daripada mereka adalah pelajar.
“Sasaran kami pada tahun ini adalah untuk memberikan peluang melatih semula dan memantapkan kemahiran mereka serta menawarkan penjimatan dan kemudahan kepada mereka untuk membeli barangan keperluan,” tambahnya.
Menurut kenyataan itu, tempoh pendaftaran untuk kempen tersebut ketika ini sedang dibuka untuk rakan penghantaran baharu dan sedia ada sehingga penghujung Mac.
Mereka berpeluang untuk merebut yuran pengajian berjumlah sehingga RM145,000.
Di samping itu, foodpanda turut mengadakan pertandingan untuk memenangi syiling emas 10g untuk rakan penghantaran baharu, terbuka kepada mereka yang mendaftar dan mengaktifkan ID pada Mac.
Rakan penghantaran dengan jumlah pesanan tertinggi antara 1 hingga 30 April akan dipilih sebagai pemenang.
foodpanda turut mengumumkan manfaat baharu yang lain seperti pelan mudah alih 5G YES termasuk telefon mudah alih percuma.
Selain itu, rakan penghantaran juga dapat menikmati pelbagai diskaun seperti diskaun pembelian peralatan rumah daripada TBM termasuk potongan tambah 5% untuk pembelian melebihi RM200 dan diskaun 15% untuk semua tayar dengan kerjasama Timsun. -DagangNews.com








