KUALA LUMPUR 17 Mei - Firefly, anak syarikat Malaysia Aviation Group (MAG), telah melancarkan perkhidmatan penerbangan pergi balik harian antara Sabah dan Sarawak semalam.
Syarikat itu telah menambah laluan penerbangannya dari Kota Kinabalu ke Tawau, Sandakan dan Kuching serta penerbangan dari Kuching ke Miri.
Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan MAG, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata penerbangan dari Kota Kinabalu itu melambangkan komitmen syarikat dalam memastikan kesalinghubungan yang lebih baik untuk pelanggan yang melancong di Sabah dan Sarawak.

Luqman menambah, pengembangan ini adalah susulan kejayaan hab Firefly di Pulau Pinang menghubungkan Malaysia Timur yang beroperasi semula pada April 2023, di mana lebih banyak destinasi ke bandar-bandar jiran telah ditambah.
Pada 11 April yang lalu, MAG telah memindahkan perkhidmatan intra-Borneo daripada Malaysia Airlines ke Firefly berkuat kuasa 16 Mei 2023 berikutan pemulihan permintaan yang berterusan di semua pasaran.
“Memandangkan permintaan yang semakin meningkat untuk perjalanan santai dan sokongan daripada badan pelancongan tempatan, kami teruja untuk memulakan perkhidmatan intra-Borneo sambil mengekalkan standard keselamatan dan hospitaliti Malaysia yang tinggi

“Ini akan memberi peluang untuk menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan Asia Utara, China dan destinasi ASEAN di sekitarnya sementara kami menambah lebih banyak Boeing 737-800,” tambahnya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebagai tambahan kepada laluan ini, Luqman berkata pengembara dari destinasi antarabangsa seperti Phuket, Banda Aceh dan Medan juga dapat melanjutkan perjalanan mereka ke negeri-negeri Malaysia Timur melalui Pulau Pinang.
Firefly bersama Lembaga Pelancongan Sabah, Lembaga Pelancongan Sarawak dan Persatuan Pelancongan Sandakan telah menganjurkan majlis pelepasan dan sambutan di lapangan terbang Kota Kinabalu, Kuching dan Sandakan untuk penerbangan sulung hari ini.
Awal tahun ini, Firefly telah mula menggunakan Boeing 737-800 yang lengkap dengan 189 tempat duduk dalam kelas ekonomi. -DagangNews.com








