FGV Chuping Agro Valley cipta peluang usahawan agro di Perlis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FGV Chuping Agro Valley cipta peluang usahawan agro di Perlis

Penanaman nanas

 

Oleh MUHAMMAD ARIF CHE SOH
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 21 Ogos - FGV Holding Berhad (FGV) melalui projeknya FGV Chuping Agro Valley (FCAV) memberi peluang kepada agropreneur untuk memajukan sektor perniagaan berteraskan pertanian di negeri Perlis.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, projek FCAV merangkumi empat segmen utama iaitu ladang kontrak nanas MD2, ladang ubi kayu komersial, ladang mangga harumanis serta lembah tenusu.

"Komitmen pelaburan FGV di FCAV yang berjumlah RM100 juta akan menjadikan Perlis sebagai pengeluar agro makanan premier negara. Penglibatan FGV di sektor ini adalah untuk memperkasakan perniagaan pertanian berteraskan makanan.

"Projek ini turut menyokong hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai agropreneur moden yang berpendapatan tinggi, sekali gus merancakkan perkembangan sektor pertanian dan makanan negara," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

FCAV bakal dibangunkan mengikut perancangan selepas FGV berjaya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara pada majlis Komitmen Pelaburan di Perlis baru-baru ini.

 (Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Ketua Pertanian Bersepadu FGV, Abdul Razak Aya dan Wakil Negeri Perlis.
(Dari kiri) Jebasingam Issace John, Azlan Man dan Abdul Razak Aya pada Majlis Komitmen Pelaburan Negeri Perlis baru-baru ini. 

 

Bagi segmen nanas MD2, FGV memperuntukkan kawasan ladang kontrak seluas 150 ekar kepada 15 orang agropreneur tempatan.

Segmen tersebut mensasarkan 4,000 metrik tan penghasilan buah nanas MD2 dalam masa setahun dengan nilai jualan RM12 juta.

Manakala tanah berkeluasan 3,500 hektar pula diperuntukkan untuk penanaman ubi kayu dengan sasaran 50,000 metrik tan pengeluaran kanji ubi kayu setahun bersama hasil jualan bernilai RM94 juta.

Ubi kayu dipilih sebagai salah satu tanaman komersial utama dalam projek berkenaan untuk tujuan penghasilan kanji yang mendapat permintaan dan nilai komersial tinggi bagi pasaran dalam dan luar negara.

Pengeluaran bahan mentah daripada kanji ubi kayu itu juga dijangka dapat mengurangkan kebergantungan import kanji negara sebanyak 8% dalam masa setahun.

Selain itu, kanji ubi kayu turut dijadikan bahan utama kepada industri hiliran seperti pengeluaran maltodextrin, bio-ethanol, bio-fuel, bio-plastik, asid amino, bahan farmaseutikal dan sebagainya.

Jelas beliau lagi, projek FCAV dijangka akan membawa perubahan besar kepada landskap industri pertanian Perlis susulan penggunaan pendekatan Revolusi Industri 4.0 yang menggabungkan teknologi pertanian terkini seperti dron, sistem penanaman dan penuaian mekanisasi, konsep pembangunan mampan dan aktiviti bernilai tambah yang tinggi.

"Tanaman nanas MD2 dijangka akan bermula penghujung tahun ini dan projek perintis penanaman ubi kayu secara komersial pula akan bermula pada September 2020.

"Keseluruhan projek akan mengambil masa dua tahun dan akan berfungsi sebagai lokasi pelaburan, peluang pekerjaan, pembangunan modal insan dan keusahawanan," jelasnya. - DagangNews.com