Festival 'What About Kuching 2022' bakal gegar bandar raya Kuching sepanjang Oktober | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Festival 'What About Kuching 2022' bakal gegar bandar raya Kuching sepanjang Oktober

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Edisi keempat festival ‘What About Kuching’ (WAK2022) bakal melakar sejarah tersendiri apabila menerima jumlah permohonan penyertaan yang diluar dugaan daripada para penggiat seni dan budaya bagi mengisi kalendar festival sepanjang Oktober nanti.

 

WAK yang mula dianjurkan pada 2017 akan membuka lembaran baharu tahun ini setelah dua tahun terhenti akibat pandemik. Ia disokong dan dinaungi Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.

 

Pengasas siri festival WAK, Donald Tan berkata, apabila permohonan penyertaan ditutup pada 31 Julai, WAK2022 berjaya menerima 69 kertas cadangan daripada 59 rakan penganjur meliputi 111 acara pelbagai genre termasuk muzik, teater, tarian, seni kraftangan, kulinari, sastera dan budaya, serta tidak ketinggalan acara sukan dan aktiviti lasak bertemakan alam sekitar.

 

“Kami amat teruja dengan sokongan yang diterima WAK kali ini, bukan sahaja dari segi jumlah, malah semuanya berkualiti tinggi dan bertaraf dunia. Tugas kami sekarang ialah untuk berbincang dan membuat perancangan secara terperinci dengan semua para penggiat dan penganjur acara bagi memastikan semuanya berjalan lancar Oktober nanti.

 

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, terutama sekali kepada menteri, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah atas sokongan tidak berbelah-bahagi beliau terhadap WAK sebagai acara bagi mempromosikan kebudayaan, gaya hidup dan kesenian rakyat untuk dinikmati dan dialami sendiri para pelawat dan pelancong.

 

“Kami juga berasa amat berbesar hati dan bangga dengan sokongan daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) serta rakan-rakan penaja seperti ECHO Premier Sound & Light, TV Sarawak (TVS), Hitz FM, Cats FM, tHe Spring Mall, Food Journal Sdn. Bhd., Plaza Merdeka & The Waterfront Hotel, Sara Resorts & Sara Urusharta Sdn. Bhd. serta ramai lagi yang menyumbang dalam pelbagai bentuk dan cara bagi memastikan kejayaan WAK2022," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Donald berkata, Kuching bakal digegarkan dengan pelbagai acara dan aktiviti menarik sepanjang Oktober dan ia adalah masa terbaik untuk melawat bandaraya itu dan seterusnya meneroka Sarawak secara keseluruhan. 

 

 

wak

 

 

wak

 

 

 

wak

 

 

Beliau berkata, WAK2022 akan mengumumkan kalendar festival pada 1 September dengan pelbagai acara yang boleh dinikmati semua orang. 

 

"Kami berharap pelawat dari luar Sarawak akan turut berkunjung dan sama-sama menikmati dan memeriahkan WAK2022 Oktober nanti.

 

“Bagi mereka yang terlepas menyertai acara-acara ikonik seperti Rainforest World Music Festival dan Borneo Jazz Festival baru-baru ini, WAK2022 adalah peluang terbaik anda untuk mengalami sendiri kebudayaan dan warisan kami, sambil menikmati persembahan muzik, teater dan kesenian baik yang moden mahupun tradisional. Kulinari juga akan menjadi satu tarikan utama sepanjang festival nanti," katanya.

 

 

wak

 

 

wak

 

 

WAK2022 akan berlangsung sepanjang Oktober 2022 sebagai festival yang digerakkan masyarakat Kuching sendiri, memaparkan kesenian, kebudayaan dan gaya hidup tempatan enerusi pelbagai program dan acara yang berpusat di Bandaraya Kuching serta kawasan sekitarnya.

 

WAK yang bermula pada 2017, diterajui pasangan Donald dan Marina Tan yang memupuk kerjasama dengan masyarakat tempatan di Bandaraya Kuching City untuk mementaskan persembahan mereka kepada khalayak di bawah satu tema iaitu ‘What About Kuching – Meraikan Seni, Budaya & Gaya Hidup’. Kini lebih dikenali sebagai ‘WAK, festival oleh masyarakat, untuk masyarakat’.

 

Untuk maklumat lanjut tentang WAK2022, layari www.aboutkuching.com. Ikuti perkembangan terkini WAK2022 di Facebook dan Instagram @aboutkuching. - DagangNews.com