Felda umum bantuan bersasar RM1.6 juta untuk peneroka getah, pekerja ladang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Felda umum bantuan bersasar RM1.6 juta untuk peneroka getah, pekerja ladang

KUALA LUMPUR 27 April - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengumumkan bantuan bersasar berjumlah RM1.6 juta bagi meringankan beban peneroka yang terjejas dengan hasil tanaman getah dan juga bagi menghargai sumbangan pekerja ladang.

 

Bantuan bersasar ini adalah dalam bentuk sumbangan duit raya berjumlah RM200 bagi peneroka getah yang menghantar hasil kepada Felda dan memperoleh pendapatan hasil kurang RM2,000 bagi pada Mac 2022. 

 

Menurut Felda, sumbangan duit raya dan barangan asas berjumlah sehingga RM200 pula akan diterima oleh pekerja ladang Felda di seluruh negara. 

 

Katanya, bayaran bagi sumbangan duit raya ini akan mula dibuat bermula 28 April 2022. 

 

"Felda turut mengumumkan penangguhan potongan bayaran kembali peneroka getah bagi pendapatan Mac 2022. 

 

Peneroka getah yang layak menerima penangguhan ini adalah mereka yang memperoleh pendapatan hasil pada Mac kurang RM2,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Agensi itu berkata, bantuan bersasar ini merupakan manifestasi keprihatinan Felda terhadap peneroka getah yang menerima pendapatan kurang RM2,000. 

 

"Semoga bantuan ini akan dapat meringankan sedikit beban warga peneroka yang terjejas dan membolehkan mereka menyambut Aidilfitri dengan lebih meriah," tambahnya.

 

Hari ini, Felda adalah satu agensi keramat yang terus merangka pelan komprehensif dalam meningkatkan mobiliti sosial warga peneroka.

 

Ia dilaksanakan dengan mewujudkan pelbagai infrastruktur moden, aktiviti keusahawanan dan pertanian pintar untuk mempelbagaikan pendapatan peneroka di kawasan-kawasan rancangan seluruh negara agar mereka mampu terus meningkatkan pendapatan tanpa terlalu bergantung kepada hasil sawit dan getah.

 

Dengan tadbir urus yang dinamik, pemantapan sistem perladangan melalui mekanisasi dan automasi berserta anjakan paradigma pemikiran warga peneroka, Felda kini menyasarkan matlamat ke arah syarikat Fortune Global 500 menjelang 2040. - DagangNews.com