Felda perlu pikul tanggungjawab ke atas hutang peneroka, kata GEM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Felda perlu pikul tanggungjawab ke atas hutang peneroka, kata GEM

KUALA LUMPUR 25 Feb - Sejak 2021, setiap peneroka Felda dikejutkan dengan jumlah hutang yang amat membimbangkan dengan jumlah terkumpul sebanyak RM10.375 bilion yang dianggap berpunca daripada kegagalan Felda sendiri, kata pertubuhan NGO, Gerakan Ekonomi Malaysia.

 

Presidennya, Armin Baniaz Pahamin berkata, semasa pelancaran skim pelupusan hutang ini, beliau memang mempertikaikan punca hutang ini yang pada pendapatnya berpunca dari kegagalan pihak Felda sendiri

 

Katanya, Felda gagal menyediakan penyata hutang yang telus dimana nilai-nilai yang dinyatakan diragui serta dipertikai oleh peneroka sehingga ramai peneroka mengambil keputusan untuk mengambil alih pengurusan ladang dari pengurusan Felda.

 

Menurutnya, Felda tidak mengurus ladang peneroka dengan baik dimana kos operasi terus dicaj namun kerja diladang tidak dilaksanakan dengan baik.

 

 

Armin Barniaz Pahamin
                 Armin Baniaz Pahamin

 

 

"Nilai yang dicaj juga tidak dapat dibuktikan secara beraudit dan mengikut prosedur perakaunan.

 

"Ketua Audit Negara juga telah menolak nilai hutang melalui Laporan Kewangan Felda 2018," kata Armin dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menurutnya lagi, para peneroka Felda buat julung kalinya mendapat penyata hutang yang mereka sepatutnya menerima setiap 3 bulan selepas tarikh perjanjian penanaman semula semasa perlaksanaan program pelupusan hutang.

 

"Apabila peneroka menandatangani perjanjian 6 muka surat persetujuan pelupusan hutang, maka peneroka secara tidak langsung mengakui jumlah hutang yang dinyatakan oleh Kerajaan.

 

"Apabila kerajaan menghentikan inisiatif penghapusan hutang Felda, persoalan utama ialah jumlah yang perlu dibayar balik.

 

"Adakah ini bermakna jumlah hutang yang secara tidak sengaja diperakui semasa menandatangangi persetujuan pelupusan hutang itu dengan harapan hutang tersebut dilupuskan akan menjadi jumlah hutang yang perlu dibayar balik?," soal beliau.

 

"Kemungkinan besar peneroka bukan sahaja akan menjadi fakir tetapi anak-anak dan cucu-cucu peneroka juga mungkin akan mati membayar hutang. Hutang yang mereka tidak pun tahu hujung pangkal.

 

"Bagi menjamin masa depan peneroka dan keluarga peneroka, kami menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan keputusan penghapusan hutang peneroka Felda," kata Armin. - DagangNews.com