FedEx tawar perkhidmatan penghantaran pantas dari Vietnam ke Malaysia dan pasaran Asia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FedEx tawar perkhidmatan penghantaran pantas dari Vietnam ke Malaysia dan pasaran Asia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Nov - FedEx Express (FedEx) menawarkan perkhidmatan penghantaran baharu yang lebih pantas dari Vietnam ke Malaysia dan pasaran Asia yang hanya memakan masa satu hari bekerja bermula 31 Oktober 2023.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, penerbangan baharu itu akan menggunakan kapal pengangkut B767 yang akan melakukan penerbangan empat kali seminggu dari Ho Chi Minh City yang menghubungkan Asia dan Eropah melalui Hab Asia Pasifik FedEx di Guangzhou, China.

 

Penerbangan baharu ini menawarkan kapasiti tambahan selain daripada lima penerbangan semasa ke Asia, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) iaitu empat penerbangan pagi setiap hari melalui Hab Pasifik Selatan FedEx di Singapura dan satu penerbangan petang semasa melalui Hab Asia Pasifik.

 

Dengan sejumlah sembilan penerbangan seminggu dari Ho Chi Minh City, FedEx terus menyokong perniagaan dalam memanfaatkan potensi pertumbuhan yang besar di rantau ini.

 

Hab pembuatan Asia Tenggara berkembang dan mempelbagaikan untuk memasukkan barangan dan perkhidmatan yang semakin bernilai tinggi.

 

Perjanjian perdagangan bebas pelbagai hala seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP),  mewujudkan hubungan yang membantu menjadikan rantau ini sebagai rakan perdagangan yang semakin penting.

 

Presiden FedEx Express Rantau Asia Pasifik, Asia Barat dan Afrika, Kawal Preet berkata, pihaknya akan terus memperbaiki rangkaian udara bagi menawarkan perkhidmatan berbeza kepada pelanggan dan itu termasuk membina kapasiti serta mewujudkan sambungan yang lebih pantas dalam memenuhi permintaan.

 

"Ekonomi Harimau Asia Tenggara terus berkembang pada kadar yang cepat dengan ramalan pertumbuhan 4.9% pada 2024. Apa berlaku di Vietnam adalah contoh hebat arah aliran serantau ini.

 

"Perkhidmatan yang dipertingkatkan di Vietnam adalah sebahagian daripada usaha untuk membina rangkaian yang lebih fleksibel, cekap serta memberikan pengalaman pelanggan yang cemerlang," katanya.

 

Pengarah Urusan FedEx Express Malaysia, Tien Long Woon berkata, masa transit yang singkat dari Vietnam ke Malaysia akan menggalakkan lebih banyak perdagangan antara kedua-dua pasaran.

 

“Ini penting memandangkan perdagangan yang semakin meningkat antara kedua-dua negara, yang mencecah AS$19.44 bilion pada 2022, menjadikan Vietnam rakan perdagangan kesepuluh terbesar Malaysia," katanya. - DagangNews.com