KUALA LUMPUR 25 Feb - FedEx Express Malaysia menerima pengiktirafan daripada tiga anugerah industri, iaitu HR Asia Best Companies to Work for in Asia 2021, ' WeCare: HR Asia Most Caring Companies Awards 2021' dan Sustainability & CSR Malaysia Awards 2021'.
Untuk pengiktirafan ‘HR Asia Best Companies to Work for in Asia 2021’, FedEx telah mencapai 100% maklum balas pekerja terhadap tinjauan Model Penilaian Penglibatan Keseluruhan, satu tinjauan penglibatan pekerja yang memberikan pandangan kepada pemimpin dan organisasi tentang maklum balas serta pengalaman pekerja dalam sebuah syarikat.
Anugerah juga berdasarkan keputusan tinjauan awal yang jauh melebihi purata industri dalam semua kategori.
Ini adalah bukti penglibatan pekerja aktif syarikat dan budaya tempat kerja memberangsangkan yang diasaskan tiga tonggak utama, menerusi Teras (kepimpinan dan organisasi), Diri (penglibatan emosi) dan Kumpulan (dinamik pasukan).
Pengarah Urusan FedEx Express Malaysia, SC Chong berkata, syarikat berbangga dengan budaya tempat kerja dan penglibatan pekerjanya, seperti yang dipaparkan dalam hasil tinjauan tersebut.
"Kami telah melaksanakan beberapa program yang memberi fokus kepada pekerja, bertujuan untuk memupuk interaksi di tempat kerja positif dan inklusif. Di FedEx, kami komited untuk menyokong kakitangan dalam mencapai potensi penuh mereka di tempat kerja, sambil kekal terlibat, bermotivasi dan bersemangat.
“Saya amat berbesar hati dengan kemenangan tiga anugerah kami, yang hanya dapat dicapai kerana dedikasi dan komitmen semua pekerja kami. Aset terbesar ialah pekerja kami dan kami sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan pengalaman mereka.
"Ini adalah sebahagian daripada falsafah People-Service-Profit’ (PSP) di mana pemberian focus kepada pekerja kami dan penyediaan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang, sekali gus mampu meningkatkan keuntungan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Chong, syarikat percaya kesukarelawanan dan sokongan kepada komuniti tempatan adalah asas kepada pengalaman pekerja.
"Kami mahu membantu membentuk pemimpin masa depan dan telah memberi tumpuan kepada program yang memberi inspirasi kepada usahawan muda bercita-cita tinggi yang mampu membina perniagaan berjaya pada masa hadapan,” katanya.
FedEx juga julung kalinya menerima ‘WeCare: HR Asia Most Caring Companies Awards 2021’, hasil usahanya dalam pengiktirafan empati dan keprihatinan sebagai sebahagian daripada DNA organisasi dan kecemerlangan tempat kerja.
Anugerah WeCare 2021 telah diberikan kepada hanya 10 syarikat daripada 270 syarikat yang dipertimbangkan tahun ini, daripada syarikat multi-nasional hingga perniagaan kecil dan sederhana.
FedEx turut menerima Sustainability & CSR Malaysia Awards 2021 sebagai pengiktirafan atas usaha berpanjangannya dalam mendidik dan memberi inspirasi kepada bakat muda untuk memupuk minda keusahawanan dan pemikiran kreatif dalam perdagangan antarabangsa melalui FedEx Express JA International Trade Challenge (FedEx Express/JA ITC) dan program Young Enterprise (YE).
Sehingga kini, kedua-dua program telah memberi impak positif kepada lebih 8,000 pelajar di Malaysia. - DagangNews.com








