Fasa 2 Aspira Gardens dengan GDV RM107 juta dijangka siap suku pertama 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Fasa 2 Aspira Gardens dengan GDV RM107 juta dijangka siap suku pertama 2025

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mac - Pemaju hartanah, UEM Sunrise Berhad melancarkan fasa terakhir projek kediaman Aspira Gardens dengan kadar tempahan sebanyak 75% sebelum bermulanya acara pelancaran pada hujung minggu lalu.

 

Sambutan hangat terhadap Fasa 2 tatkala penularan wabak COVID-19 membuktikan penerimaan pasaran dan populariti produk siri Aspira di Iskandar Puteri, Johor, yang mana fasa terdahulu telah habis dijual sejak pelancarannya pada Disember 2019.

 

Terletak di perbandaran hijau Gerbang Nusajaya yang bakal menyusul, dengan hanya 118 unit rumah kluster dua tingkat berstrata serta rumah berkembar berstrata, Aspira Gardens adalah pembangunan kediaman berdensiti rendah pertama di Johor yang direka bentuk untuk sedia menerima kelengkapan panel solar di unit kediaman serta menggunakan lampu jalan berkuasa solar.

 

Ia merupakan pembangunan pegangan bebas premium yang berorientasikan konsep kediaman untuk keluarga pelbagai generasi, yang direka untuk kehidupan pintar dan selamat. 

 

Fasa 2 Aspira Gardens yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM107 juta dijangka akan disiapkan pada suku pertama 2025.

 

Dengan harga jualan bermula daripada RM763,000 dan keluasan binaan bermula daripada 2,608 kaki persegi yang merangkumi 4+1 bilik tidur dan lima bilik air, Aspira Gardens direka dengan teliti dan dilengkapi dengan ruang yang luas dan selesa.

 

 

uem

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, pihaknya berbesar hati dengan maklum balas positif berterusan daripada para pelanggan terhadap produk terbaru syarikat walaupun ketika wabak COVID-19 masih belum reda sepenuhnya dan suasana pasaran yang lemah. 

 

"Sokongan padu mereka adalah petanda baik terhadap pelancaran pertama Syarikat untuk tahun ini. Dengan berita pembukaan semula sempadan kita kepada pelawat antarabangsa, kami yakin bahawa ia juga boleh menyumbang kepada pemulihan pasaran hartanah tahun ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

uem

 

 

Disebabkan lokasinya yang berdekatan Singapura, pembangunan kediaman pegangan bebas tersebut adalah sangat sesuai bagi mereka yang berulang-alik ke negara berjiran setiap hari melalui Laluan Kedua Malaysia-Singapura, terutama selepas pembukaan Persimpangan Gerbang Nusajaya baharu yang bakal dibuka tidak lama lagi.

 

Penduduk Aspira Gardens boleh menikmati akses mudah ke hab komersialnya, Aspira Square serta kawasan mercu tanda, termasuk LEGOLAND Malaysia Resort, Mall of Medini dan Hospital Gleneagles Medini untuk keperluan perubatan. 

 

 

uem

 

 

Pembangunan kediaman seluas 12.87 ekar ini hanya sejauh 5 kilometer ke EduCity Iskandar, iaitu hab pendidikan Iskandar Puteri yang menempatkan institusi-institusi antarabangsa seperti Newcastle University Medicine Malaysia, Raffles University, dan University of Reading Malaysia.

 

Aspira Gardens ialah pembangunan terbaharu yang melengkapkan perancangan induk UEM Sunrise bagi perbandaran Gerbang Nusajaya seluas 4,551 ekar, yang bermula dengan pelancaran Aspira LakeHomes kepada orang ramai pada tahun 2016. - DagangNews.com