Farm Price sasar kumpul RM24.48 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Farm Price sasar kumpul RM24.48 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 April - Pengimport dan pemborong sayur-sayuran, Farm Price Holdings Bhd menyasarkan untuk mengumpul RM24.48 juta daripada penyenaraiannya di pasaran ACE Bursa Malaysia bagi mengembangkan operasinya termasuk membeli jentera baharu.

 

Tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu berharga 24 sen sesaham, terdiri daripada terbitan 102 juta saham biasa baharu, membentuk 22.67 peratus daripada modal sahamnya yang diperbesarkan.

 

Selain itu, penempatan persendirian akan dijalankan untuk tawaran jualan 33 juta saham sedia ada, bersamaan dengan 7.33 peratus daripada saham yang diperbesarkan.

 

Selepas penyenaraian, Farm Price akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM108 juta berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 450 juta saham.

 

Sebanyak 26% atau RM6.4 juta daripada hasil yang diperoleh daripada IPO akan digunakan untuk pembinaan kemudahan baharu, pembelian jentera, peralatan dan logistik (RM2 juta) di samping pusat pengagihan dan perolehan wilayah yang dirancang (RM1.6 juta).

 

Kumpulan yang berpengkalan di Johor itu juga akan menggunakan 43% hasil itu untuk modal kerja (RM10.58 juta) dengan anggaran perbelanjaan penyenaraian pula berjumlah RM3.9 juta.

 

lori
Farm Price akan menggunakan 8% daripada hasil IPO untuk membeli jentera dan peralatan baharu.

 

Pasaran domestik membentuk 75% daripada hasil Price Farm manakala eksport ke Singapura menyumbang 25%.

 

Permohonan untuk IPO dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 30 April 2024 jam 5 petang.

 

Syarikat itu dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 14 Mei 2024.

 

Alliance Islamic Bank Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO.

 

Pengarah Urusan Farm Price, Dr Tiong Lee Chian berkata dengan perolehan IPO yang akan datang, syarikat merancang untuk menambah keluasan Pusat Pengedaran Berpusat Senai daripada 78,721 kaki persegi kepada 149,548 kaki persegi, membina ruang pejabat tambahan, kemudahan bilik sejuk dan gudang.

 

“Kami akan mewujudkan pusat pengedaran serantau tambahan dengan kemudahan bilik sejuk di Nilai, Negeri Sembilan dan Cameron Highlands, Pahang, bersama pejabat jualan dan pemasaran baharu di Singapura.

 

"Kami juga akan melabur dalam mesin dan peralatan baharu untuk mengoptimumkan kecekapan aliran kerja dan mengautomasikan proses," katanya.- DagangNews.com