Fajarbaru Builder bangunkan taman bandar industri dengan GDV RM172.4 juta di Negeri Sembilan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Fajarbaru Builder bangunkan taman bandar industri dengan GDV RM172.4 juta di Negeri Sembilan

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Unit milik penuh Fajarbaru Builder Group Bhd (FBG) iaitu Fajarbaru Land (M) Sdn Bhd (FLM) memeterai perjanjian usaha sama dengan Care Dynamic Sdn Bhd (CDSB) untuk membangunkan taman bandar perindustrian seluas 4.4 hektar untuk 672 unit kuarters buruh berpusat di Negeri Sembilan.

 

Projek itu mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar RM172.4 juta.

 

Aktiviti utama CDSB adalah dalam pengurusan asrama.

 

FLM akan mengetuai dan menyelaras pembinaan pembangunan dan menyumbang modal dan pembiayaan, manakala CDSB akan mengetuai perbincangan dan rundingan dengan pemilik tanah dan menyelaraskan semua jualan dan pemasaran untuk projek itu.

 

CDSB diamanahkan oleh pemilik berdaftar tanah tersebut, Sungei Gadut Development Sdn Bhd (SGD), untuk menangani perkara berkaitan tanah itu termasuk pembahagian tanah.

 

CDSB telah mewakili FLM bahawa SGD bersetuju untuk menjual tanah tersebut kepada Fajarbaru Dynamic Development Sdn Bhd pada harga RM18 sekaki persegi. Pada tarikh JVA, anggaran harga tanah ialah RM8.5 juta.

 

FBG menjangkakan projek itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 dan seterusnya.

 

Harga saham FBG kekal tidak berubah untuk ditutup pada 31 sen hari ini dengan permodalan pasaran RM230.85 juta. - DagangNews.com