Eversendai jangka nilai kontrak pembinaan akan terus meningkat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eversendai jangka nilai kontrak pembinaan akan terus meningkat

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Julai - Eversendai Group Bhd. menjangkakan nilai kontrak pembinaannya akan meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang, setelah memperoleh kontrak baharu berjumlah RM1.6 bilion.

 

Ini menjadikan nilai kontraknya setakat Jun 2022 mencecah RM2.13 bilion. 

 

Pengarah Urusannya, Tan Sri A K Nathan berkata, kontrak baharu itu diperoleh menerusi pasaran utamanya di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Qatar, Sri Lanka, India, Singapura dan Malaysia. 

 

Katanya, kontrak yang baru diperoleh itu termasuk projek terkenal seperti muzium berprestij besar di Abu Dhabi; Projek Jambatan King Salman Park-Loop di Arab Saudi dan Bandar Pendidikan Pusat Kebudayaan di Qatar.

 

Selain itu, projek itu juga merangkumi Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike, Sri Lanka (dibiayai oleh kerajaan Jepun); Menara Keppel dan Projek Labrador di Singapura serta projek SK Nexilis di Sabah.

 

"Sebagai testimoni tambahan kepada keupayaan kumpulan, projek SK Nexilis yang merupakan loji pembuatan kerajang tembaga telah diterima secara 'fast-track' untuk menyiapkan kerja keluli struktur utama menjelang akhir Disember 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Di sebalik cabaran pandemik COVID-19, kumpulan merekodkan beberapa pencapaian penting antaranya, 
strategi mengembangkan penglibatannya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) melalui angin luar pesisir Eropah kerana ia berjaya menyelesaikan 3 projek angin luar pesisir di Holland dan Scotland pada 2021 manakala di United Kingdom pada 2022 daripada kemudahan fabrikasi di Ras Al Khaimah, UAE.

 

Projek paling ketara ialah platform topside pencawang angin luar pesisir 1.1-Gigawatt dan struktur  untuk projek ladang angin luar pesisir Seagreen, yang meletakkan kumpulan secara strategik dalam sektor RE bukan sahaja di Eropah tetapi di peringkat global.

 

Pencapaian penting lain semasa pandemik adalah menyiapkan kerja-kerja keluli struktur utama untuk bangunan kedua tertinggi di dunia, Merdeka PNB 118 di Kuala Lumpur dan kesinambungan kerja bagi projek menara mewah mercu tanda berprestij 55 tingkat yang terletak di Rabat, Maghribi untuk  pelanggan jangka panjang yang telah berkembang dengan baik dan hampir siap.

 

Menurut A K Nathan, kumpulan akan menumpukan kepada pembentukan semula Eversendai dengan fokus yang diperbaharui pada nilai asas teras terutama operasinya di rantau yang kukuh dengan merebut peluang yang muncul.

 

Dengan memasuki separuh kedua 2022, katanya, terdapat banyak projek yang menarik dan baharu dalam perancangan yang boleh diperoleh memandangkan kumpulan memiliki pasukan yang kukuh, sumber yang berkedudukan baik, pengalaman dan kepakaran jangka panjang dalam industri serta sokongan daripada pihak berkepentingan.

 

"Gabungan ini membolehkan kami kekal berdaya tahan terhadap kejutan luaran dan mengatasi sebarang halangan dan maju ke hadapan dengan keupayaan untuk terus memberi nilai kepada semua pemegang kepentingan," katanya. -DagangNews.com