Etika tekad tangani isu pencemaran sungai menerusi kempen 'It's Time for Our River' | DagangNews Skip to main content

Etika tekad tangani isu pencemaran sungai menerusi kempen 'It's Time for Our River'

Lebih 300 peserta menyertai kempen It's Time for Our River untuk membersihkan sungai di Taman Rekreasi Sungai Langat, Bangi baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Jun - Etika Sdn Bhd (Etika) bertekad untuk menangani isu pencemaran sungai dengan memperkenalkan kempen "It's Time for Our River", demi mengukuhkan lagi komitmen mereka ke arah kelestarian sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2022.

 

"It's Time for Our River" adalah hasil kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mempromosikan rawatan kualiti air sungai melalui pameran yang menggunakan pendekatan biologi, sambil mendidik ahli komuniti mengenai kepentingan pemeliharaan sumber air.  

 

Etika bekerja rapat dengan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UKM melalui program pembersihan sungai pertama mereka yang diadakan di Taman Rekreasi Sungai Langat, Bangi, baru-baru ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etika (Malaysia, Singapura dan Brunei), Santharuban Thurai Sundaram berkata, pihaknya melihat kemerosotan kualiti air akibat perbuatan individu tidak bertanggungjawab dan telah menimbulkan kebimbangan kepada persekitaran.

 

"Oleh itu, ahli fakulti FST memainkan peranan mereka untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran mereka tentang bagaimana kita dapat mencapai objektif ini. 

 

"Dengan kehadiran lebih daripada 300 peserta membantu membersihkan sungai, kami sangat berbesar hati untuk melihat sambutan yang memberangsangkan dan ini membuktikan bahawa masih ada individu yang ambil peduli tentang alam sekitar.

 

"Kami yakin bahawa kami dapat meneruskan usaha seperti ini lagi untuk menjaga sungai-sungai kita, untuk generasi akan datang," katanya dalam satu kenyataan.

 

 

etika

 

 

Katanya, Etika sentiasa berusaha untuk memastikan bahawa amalan dan inisiatif kelestarian sejajar dengan misi untuk menjadi sebuah syarikat yang lebih hijau untuk pengguna, komuniti dan alam sekitar. 

 

"Usaha seperti ini bukan sahaja akan membentuk organisasi yang mampan tetapi, Etika sebagai salah sebuah jenama terkemuka dalam industri FMCG, kami perlu memberi kesan pada skala yang lebih besar dalam menangani cabaran-cabaran dari segi alam sekitar dan pemasyarakatan," katanya.

 

 

etika

 

 

Ahli kempen yang lain juga menyediakan beberapa pameran untuk mendidik masyarakat tentang cara memelihara dan menilai kesihatan sungai melalui pelbagai aktiviti untuk mempromosikan perkhidmatan yang boleh dilakukan untuk pemuliharaan biodiversiti dan penyelesaian berasaskan alam sekitar.

 

Ia meliputi demo pensampelan air dan analisis kualiti air oleh Pusat Analisis dan Penyelidikan Air (ALIR), demonstrasi dron oleh AQUASense dan banyak lagi.  

 

Etika juga bertekad untuk memenuhi Matlamat Kelestarian Etika melalui inisiatif projek lain seperti pemasangan panel solar, pembelian Tenaga Hijau dari grid, kitar semula sisa tumbuhan kepada baja untuk mengurangkan tapak pelupusan dan usaha lain yang akan mengurangkan pelepasan karbon dan menjimatkan air. - DagangNews.com