KUALA LUMPUR 18 Okt - EP Manufacturing Berhad, melalui anak syarikatnya, PEPS-JV (Melaka) Sdn Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Great Wall Motor Sales Malaysia Sdn Bhd (GWM Malaysia) untuk pemasangan dan pembuatan tempatan di Malaysia.
GWM Malaysia adalah anak syarikat Great Wall Motor Co., Ltd. (GWM) yang terlibat dalam pembuatan SUV dan trak pikap di China dan tersenarai di Bursa Saham Hong Kong dan Shanghai.
Di bawah MoU tersebut, EPMB dan GWM Malaysia akan bekerjasama untuk memuktamadkan perjanjian dalam tiga bulan akan datang, dengan tujuan memberi peranan penting kepada EPMB untuk memasang model-model GWM yang terpilih, secara tempatan.

Model-model ini dijangka termasuk model terkemuka seperti GWM SUV, trak pikap dan kenderaan elektrik (EV) yang canggih.
Kerjasama ini merupakan langkah strategik ke arah memajukan pemasangan kenderaan tempatan, sejajar dengan visi kerajaan Malaysia untuk meningkatkan keupayaan automotif dan menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan industri di Malaysia.
Jika kedua-dua pihak mencapai persetujuan tersebut, EPMB menjangkakan untuk memulakan kerjasama ini pada tahun depan. Pengeluaran kenderaan GWM EPMB dijangka akan meningkat secara berperingkat setiap tahun dan disasarkan mencecah 20,000 unit menjelang 2028.

“Kami akan gigih berusaha untuk memupuk kerjasama saling menguntungkan dengan GWM, yang akan menyumbang kepada pertumbuhan masa depan kedua-dua jenama,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPMB, Ahmad Razlan Mohamed dalam satu kenyataan media hari ini.
Kerjasama ini dijangka memainkan peranan penting dalam rancangan GWM Malaysia di rantau ASEAN untuk terus mewujudkan kehadiran pasarannya dengan rangkaian infrastruktur jualan, servis selepas jualan serta penyelenggaraan yang komprehensif.
Pengarah Urusan GWM Malaysia, Mike Cui berkata kerjasama tersebut menjadi projek pemasangan tempatan GWM Pertama di ASEAN yang akan menjadi jejak penting dalam landskap pengluaran global GWM. - DagangNews.com








