Epicon peroleh kontrak RM191 juta bina pangsapuri di Perak | DagangNews Skip to main content

Epicon peroleh kontrak RM191 juta bina pangsapuri di Perak

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Mac - Epicon Berhad menerusi anak syarikatnya, Transnational Builder Sdn Bhd, telah memperoleh kontrak pembinaan pangsapuri di Kinta, Perak bernilai RM191.13 juta.

 

Syarikat pembinaan itu berkata, surat anugerah yang diperoleh daripada Maju Teluk Batik Sdn Bhd merangkumi kerja-kerja bangunan utama bagi dua apartmen (Apartmen A dan D), sebuah bangunan tempat letak kereta, bangunan sampingan, perkhidmatan mekanikal dan elektrikal, infrastruktur dan kerja-kerja landskap untuk pembangunan bercampur di Bandar Meru Raya.

 

“Tempoh kontrak tersebut adalah 36 bulan yang dijangka bermula pada 19 Mac 2024 dan siap pada 18 Mac 2027.

 

“Dengan pemberian kontrak baharu ini, jumlah buku pesanan tertunggak syarikat telah meningkat kepada RM840 juta daripada RM649 juta setakat 31 Disember 2023,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Epicon berkata, kontrak ini tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham diterbitkan dan pegangan saham pemegang saham besar syarikat.

 

Ia menjangkakan kontrak  itu menyumbang secara positif kepada pendapatan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan seterusnya.

 

Saham Epicon ditutup tinggi pada 43.5 sen hari ini, menokok 2 sen atau 4.8% dengan permodalan pasarannya bernilai RM258.7 juta. - DagangNews.com