Engtex Group dijangka terima peningkatan tempahan penggantian paip bermula separuh kedua 2024, kata CGS-CIMB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Engtex Group dijangka terima peningkatan tempahan penggantian paip bermula separuh kedua 2024, kata CGS-CIMB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Feb - Engtex Group Berhad dijangka menerima peningkatan tempahan penggantian paip bermula separuh kedua tahun ini atau pada awal 2025 didorong kenaikan tarif air baru-baru ini.

 

CGS-CIMB Research percaya, perkembangan itu adalah lebih pantas daripada jangkaan awal.

 

"Bagaimanapun, kami mengunjurkan proses perancangan, tender dan pembiayaan antara Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB), operator negeri serta kontraktor akan mengambil masa antara tiga hingga enam bulan sebelum dimuktamadkan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kenaikan tarif air yang berkuat kuasa 1 Februari 2024 yang diumumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada 17 Januari lalu merupakan kenaikan pertama dalam tempoh 30 tahun bagi beberapa negeri.

 

Firma penyelidikan itu menaikkan anggaran pendapatan sesaham (EPS) FY25 Engtex sebanyak 1.6% untuk mengambil kira kenaikan tarif yang lebih pantas daripada jangkaan dan persekitaran operasi yang bertambah baik.

 

Pada masa sama, CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM1.12 sesaham.

 

Bagaimanapun, terdapat beberapa risiko terhadap saranan itu termasuk, pelancaran projek infrastruktur yang lebih perlahan daripada jangkaan dan harga bahan mentah yang tidak stabil.

 

Katanya, selain kenaikan tarif air, projek infrastruktur luar bandar dilihat akan memberi kelebihan kepada Engtex, seperti yang diumumkan semasa Belanjawan 2024.

 

“Antara peruntukan ialah menaik taraf infrastruktur luar bandar yang diumumkan semasa Belanjawan 2024 ialah RM1.1 bilion untuk menyelesaikan isu bekalan air, khususnya di Kelantan (pembinaan Loji Rawatan Air Machang dan menggantikan paip), Sabah (meningkatkan loji rawatan air) dan Labuan (penggantian paip).

 

“Peruntukan lain yang disediakan termasuk RM1.63 bilion untuk naik taraf jalan (memerlukan sistem perparitan) di kampung dan luar bandar; dan RM939 juta untuk menyediakan bekalan air dan elektrik kepada isi rumah luar bandar," katanya.

 

CGS-CIMB berkata, pengurusan kumpulan optimis mengenai separuh kedua tahun ini kerana buku tendernya telah berkembang kepada RM720 juta daripada RM528 juta pada Disember 2023. - DagangNews.com