[EKSKLUSIF] MHub terapkan amalan piawaian hartanah global | DagangNews Skip to main content

[EKSKLUSIF] MHub terapkan amalan piawaian hartanah global

MHub

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Platform perkhidmatan hartanah hujung ke hujung, MHub berjaya mengaplikasikan amalan terbaik piawaian global dalam keseluruhan operasi perkhidmatannya.

 

Perkembangan positif itu adalah hasil pembelajaran melalui Program Google for Startups Accelerator SEA (Asia Tenggara) yang disertai baru-baru ini.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Pemasaran MHub, Jason Ding berkata, program tersebut adalah salah satu langkah pihaknya untuk menyatukan komuniti dalam satu platform bagi mempercepat dan mempermudahkan transaksi hartanah .

 

"Google adalah nama yang terkenal dengan sejumlah besar pengalaman, mentor dan rangkaian yang dapat membantu mempercepat pertumbuhan kami ke arah cita-cita kami untuk menjadi ‘unicorn’ kelahiran Malaysia.

 

"Program ini sangat baik dalam memberi pendedahan mengenai amalan terbaik piawaian global, metodologi terkini dan pembelajaran dari para pengamal berpengalaman. 

 

"Banyak yang telah kami pelajari. Dari pengambilan pekerja sehingga ke pembinaan budaya syarikat yang tepat, memimpin pasukan dengan lebih berkesan, menetapkan OKR, dan membina produk dan perkhidmatan yang membantu para perniagaan terus berkembang, semuanya boleh diterjemahkan ke dalam penambahbaikan platform lebih bermakna yang akan memberi manfaat kepada para pengguna kami," jelasnya dalam satu wawancara eksklusif bersama DagangNews.com.

 

Jason Ding
Jason Ding

 

Baru-baru ini, MHub disenarai pendek daripada lebih 600 aplikasi merentasi lebih daripada 10 buah negara untuk menjadi satu-satunya wakil Malaysia mengambil bahagian dalam program berkenaan.

 

Program tersebut memberi peluang kepada MHub untuk didedahkan kepada para pengasas dari seluruh dunia dengan gaya pemikiran yang sama bersama sokongan dan bimbingan satu-sama-satu dari pakar produk Google. 

 

Mengulas berkaitan platform MHub, beliau berkata, rangkaian aplikasi MHub menyatukan pemaju hartanah, ejen hartanah, pegawai bank dan peguam ke dalam satu aplikasi perbualan yang sama untuk membantu pembeli yang layak mendapatkan kediaman.

 

Sebanyak 10 aplikasi dalam MHub termasuk aspek perundangan, perbankan, pengurusan tempahan dan banyak lagi yang membentuk ekosistem hartanah holistik dan dapat ditransaksikan dengan lancar dalam satu platform.

 

Rangkaian aplikasi digital MHub mampu memendekkan proses pembelian hartanah secara tradisional dan manual dari tempoh sembilan bulan kepada satu bulan.

 

Sejak dilancarkan pada tahun 2017, MHub berjaya melakukan transaksi hartanah bernilai lebih RM93 bilion, dan kini merupakan platform transaksi hartanah yang paling pesat berkembang di Malaysia. 

 

Sehingga kini, MHub berjaya menguasai 30% pasaran hartanah utama dan merupakan platform pilihan untuk 10 daripada 15 pemaju hartanah utama di Malaysia.

 

Ditanya berkaitan kelebihan bantuan dalam tempoh wabak COVID-19, beliau memberitahu, pihaknya membantu dalam memastikan kesinambungan dan kecekapan perniagaan bagi para pengguna dengan mempermudah dan mempercepatkan urus niaga hartanah melalui penggunaan teknologi digital.

 

Jelasnya, tahun 2020 yang disebut sebagai 'tahun pandemik' sebenarnya terbukti menjadi tahun kejayaan bagi MHub kerana semua pasaran dan pihak berkepentingan telah beralih kepada penyelesaian digital untuk meneruskan perniagaan. 

 

"Sebagai pelopor bidang teknologi harta tanah (PropTech), dan dengan pengalaman unggul dan infrastruktur yang lengkap, MHub dapat memanfaatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini. 

 

"Dalam dua minggu pertama PKP, ketika semua perniagaan Malaysia tergendala secara tiba-tiba, MHub telah menentang norma dan berjaya melakukan 222 tempahan melalui kempen 'MCO - MHub Can Online' yang membolehkan para pemaju melakukan transaksi dalam talian walaupun terdapat batasan yang jelas," tambah beliau lagi. - DagangNews.com