Ekonomi Madani atasi sembilan cabaran berstruktur agar memberi manfaat kepada rakyat – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekonomi Madani atasi sembilan cabaran berstruktur agar memberi manfaat kepada rakyat – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 31 Julai - Ekonomi Madani mengatasi sembilan cabaran berstruktur yang telah lama wujud, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB) yang menyatakan bahawa ia menjadi langkah agar memberi manfaat kepada rakyat.

 

Maybank IB menyingkap sembilan cabaran utama berstruktur yang dihadapi ekonomi negara iaitu kemerosotan tadbir urus; ekonomi dipacu secara domestik; bahagian pendapatan buruh yang rendah; gaji median dan min rendah; kadar penyertaan tenaga buruh wanita rendah; peningkatan hutang negara; bahagian pelaburan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang semakin berkurangan; kejatuhan daya saing; dan ketidaksamaan.

 

Bagi menangani cabaran, firma itu berkata ekonomi Madani menyasarkan untuk ‘meningkatkan siling’ untuk negara dengan memanfaatkan kekuatan yang wujud untuk menjadi peneraju ekonomi Asia dan ‘menaikkan lantai’ untuk rakyat melalui pekerjaan yang dihormati; taraf hidup baik; kesaksamaan dan keterangkuman; menambah baik infrastruktur asas dan perkhidmatan awam; meningkatkan perlindungan sosial iaitu sistem keselamatan sosial dan jaringan keselamatan.

 

“Ekonomi Madani telah meletakkan sasaran jangka sederhana 10 tahun berpaksikan pada penanda aras global untuk kedudukan ekonomi Malaysia, daya saing, kualiti hidup, keterangkuman buruh, rasuah dan kemampanan fiskal,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Antara hasil makroekonomi jangka sederhana utama yang dijangka di bawah ekonomi Madani adalah pertumbuhan KDNK benar 5.5% sehingga 6% setahun sepanjang 10 tahun akan datang berbanding kadar pertumbuhan "perniagaan seperti biasa" (BAU) sebanyak 4% sehingga 5%.

 

Selain itu, ia dijangka meningkatkan bahagian pekerja daripada KDNK kepada 45% dalam masa 10 tahun (2021: 35.1%; 2022: 32.4%; 2025: 40%).

 

Sementara itu, defisit belanjawan kepada nisbah KDNK dijangka sebanyak 3% atau kurang 10 tahun dari sekarang (2023E: 5.0%; purata Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana 2023-2025: 4.1%).

 

 

xz

 

 

Maybank IB berkata, beberapa projek infrastruktur utama yang belum selesai telah disebut ketika pelancaran Ekonomi Madani, sekali gus mengesahkan projek ini akan dilaksanakan.

 

Projek infrastruktur tersebut adalah MRT3; LRT Pulau Pinang; Transit Aliran Bas (BRT) Johor Bahru; peluasan lapangan terbang Pulau Pinang dan Subang.

 

“Terdapat juga insentif, inisiatif dan peruntukan yang disasarkan untuk PKS, syarikat pemula niaga dan sektor/industri seperti teknologi (elektronik, pusat data), berasaskan sumber (hiliran minyak dan gas, serta getah), pelancongan dan perumahan mampu milik,” katanya.

 

Berikutan pelancaran Ekonomi MADANI, beberapa dasar diumumkan pada separuh kedua tahun ini seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) Fasa 1 yang telah diumumkan dan diikuti NETR Fasa 2 dan Pelan Induk Perindustrian Negara (NIMP) 2030 menjelang akhir Ogos 2023.

 

Selain itu, semakan pertengahan penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12, 2021-2025) akan dilakukan pada 11 hingga 19 September 2023, Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023; dan Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perolehan Kerajaan menjelang akhir tahun 2023.  - DagangNews.com