KUALA LUMPUR 6 Sept - Edaran Bhd telah memperoleh kontrak penyelenggaraan bernilai RM44.02 juta daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), sebuah unit di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Edaran berkata anak syarikatnya, Edaran IT Services Sdn Bhd telah menerima kontrak berkenaan yang akan bermula pada 6 September untuk tempoh 48 bulan.
Kumpulan itu berkata kontrak itu melibatkan kerja penyelenggaraan menyeluruh dan perkhidmatan sokongan untuk peralatan infrastruktur yang menyokong perkhidmatan data MyGovCloud@PDSA.
“Hasil daripada kontrak itu akan menyumbang kepada pendapatan kumpulan Edaran bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24) sehingga FY27,” katanya.
Saham Edaran ditutup tidak berubah pada 51 sen hari ini, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM30.6 juta.








