Ecoscience International sasar perolehan RM24.7 juta daripada penyenaraian Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

Ecoscience International sasar perolehan RM24.7 juta daripada penyenaraian Pasaran ACE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Jun - Ecoscience International Berhad menyasarkan perolehan sebanyak RM24.7 juta daripada penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysa, yang dijadualkan pada 18 Julai 2022.

 

Pengarah Urusannya, Wong Choi Ong berkata, pihaknya merancang untuk memperuntukkan RM5 juta untuk penubuhan anak syarikatnya di Indonesia dan kemudahan serta pejabat fabrikasi baharu di Balikpapan, Kalimantan Timur.

 

"Peningkatan aktiviti huluan dan Indonesia sebagai pengeluar minyak sawit terbesar dunia, usaha itu akan meletakkan mereka di kedudukan terbaik untuk memanfaatkan kelebihan itu.

 

"Pengembangan perniagaan itu dilihat akan memedekkan tempoh menunggu daripada pelanggan Indonesia dan mengurangkan kos perkapalan.

 

"Menerusi pembinaan kemudahan fabrikasi di Indonesia, ia akan meningkatkan prospek kumpulan dalam mendapatkan kontrak baharu bagi pembesaran atau pembangunan loji dan kemudahan kelapa sawit atau sektor lain yang berkaitan di sana," katanya dalam satu kenyataan selepas pelancaran prospektus syarikat, hari ini.

 

Sejumlah RM1 juta akan diperuntukan untuk mengembangkan perniagaan alam sekitar dan kecekapan tenaga kumpulan dengan pembelian dan pajakan peralatan rawatan air bukan kimia untuk digunakan dalam minyak sawit dan industri lain.

 

Bagi hasil selebihnya, RM7.9 juta akan digunakan untuk modal kerja manakala RM7 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank dan RM3.8 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

Tawaran awam permulaan (IPO) Ecoscience sebanyak 112.2 juta saham mewakili 33% daripada modal saham yang diperbesarkan, terdiri daripada terbitan awam sebanyak 82.2 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 30 juta saham sedia ada.

 

Daripada jumlah itu, 17 juta saham tersedia kepada orang ramai Malaysia, 6.8 juta kepada pengarah, pekerja dan orang yang layak, 42.5 juta saham secara persendirian dengan pelabur Bumiputera dan 45.9 juta saham persendirian dengan pelabur terpilih.

 

Menerusi harga terbitan 30 sen sesaham dan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 340 juta saham selepas penyenaraian, Ecoscience akan mempunyai modal pasaran sebanyak RM102 juta.

 

Ecoscience mempunyai polisi untuk mengagihkan dividen sekurang-kurangnya 20% daripada daripada keuntungan disatukan teraudit tahunannya selepas cukai untuk pemegang sahamnya. - DagangNews.com