KUALA LUMPUR 25 Mei - Dutch Lady Milk Industries Bhd. melaporkan tahun kewangan 2021 yang berdaya tahan dengan hasil berjumlah RM1.13 bilion, meningkat 3% berbanding 2020, termasuk keuntungan sebelum cukai sebanyak RM284.5 juta meskipun berdepan pasaran yang mencabar.
Pengarah Urusannya, Ramjeet Kaur Virik berkata, pencapaian itu didorong jenamanya yang kukuh, di samping pelaksanaan dan strategi komersial yang mampu memenuhi permintaan pelanggan.
Katanya, di sebalik menghadapi masalah kos yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan cabaran rantaian bekalan global, kumpulan mencatatkan peningkatan keuntungan operasi yang kukuh disokong pertumbuhan hasil, pengurusan pertumbuhan hasil dan tumpuan kepada kos yang berhemat.
"Termasuk penjualan tanah bagi kemudahan pembuatan sedia ada di Petaling Jaya, kami berupaya mencatat hasil kewangan yang mengagumkan.
"Hasil daripada penjualan ini akan digunakan untuk membiayai pembinaan kemudahan pengeluaran baharu kami di Techpark, Bandar Enstek, Negeri Sembilan," katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-59 hari ini.
Menurut beliau, kemudahan pengeluaran tercanggih bernilai RM400 juta di Bandar Enstek itu dapat membantu kumpulan memenuhi rancangan pengembangannya di negara ini.
"Ini memandangkan kami menyedari potensi pasaran tempatan yang cerah, justeru, pembinaan kilang baharu pintar ini akan dilengkapi dengan pematuhan industri 4.0.
"Langkah ini dapat membantu memberi impak kepada industri berkaitan untuk mendapat manfaat dan mengembangkan ekosistem perniagaan tempatan," tambahnya.
Bagaimanapun, Ramjeet berkata, pasaran masih kekal tidak menentu bergantung kepada pelbagai ketidaktentuan global dan domestik, kadar tukaran asing dan kemungkinan perubahan dari segi kawal selia.
"Harga tenusu global berada pada paras tertinggi dalam sejarah dan dijangka kekal seperti ini sepanjang 2022, mengakibatkan tekanan inflasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya.
Secara dasarnya, kumpulan dan jenama ikonik Dutch Lady sentiasa wujud dalam setiap isi rumah di Malaysia untuk pelbagai generasi sejak 1963 dengan rangkaian luas produk yang popular dan inovatif.
"Sebagai pengeluar tenusu utama yang berjaya, kebimbangan kemampanan membentuk komponen besar perniagaan untuk memastikan pemakanan yang selamat, berkualiti tinggi dan berpatutan boleh diakses oleh rakyat," tambah beliau. - DagangNews.com








