Duopharma, Kensana Health bekerjasama jalankan kajian terapi legakan kesakitan, penggunaan produk cannabinoid untuk sakit kronik | DagangNews Skip to main content

Duopharma, Kensana Health bekerjasama jalankan kajian terapi legakan kesakitan, penggunaan produk cannabinoid untuk sakit kronik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Julai - Duopharma Biotech Berhad menerusi anak syarikatnya, Duopharma (M) Sdn. Bhd. menandatangani kerjasama dengan syarikat bioteknologi fitofarmaseutikal yang berpangkalan di Kanada, Kensana Health, Inc.

 

Kerjasama itu akan menyaksikan kedua-dua syarikat meneroka penyelidikan dan pembangunan klinikal (R&D) bersama dan pengkomersilan produk dengan fokus kepada pada terapi melegakan kesakitan.

 

Penyelidikan klinikal itu berpotensi dijalankan di Malaysia untuk mengkaji penggunaan produk cannabinoid (produk berasaskan kanabis) untuk tanda-tanda berkaitan sakit kronik.

 

Sebelum memulakan sebarang percubaan yang dicadangkan, pasukan penyelidik akan mendapatkan kelulusan daripada jawatankuasa etika dan badan kawal selia yang berkaitan di Malaysia, selaras dengan keperluan standard dan mengikut semua peraturan yang berkenaan.

 

"Kerjasama tertakluk kepada pelaksanaan perjanjian muktamad rasmi yang akan memperincikan cadangan penyelidikan dan pembangunan klinikal, serta terma dan syarat untuk pengkomersialan produk.

 

"Kedua-dua pihak komited untuk mencapai syarat yang dipersetujui bersama yang akan membolehkan pelaksanaan inisiatif ini berjaya," kata Duopharma dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, kerjasama itu membolehkan pihaknya mengejar peluang dalam mengembangkan aplikasi untuk farmaseutikal berasaskan tumbuhan termasuk cannabinoid yang semakin meningkat dalam kalangan pesakit.

 

"Usaha berterusan kami untuk meluaskan akses kepada ubat-ubatan dan terapi yang sangat diperlukan, seperti terapi melegakan kesakitan yang boleh meningkatkan kualiti hidup pesakit sakit kronik sejajar dengan komitmen amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kensana Health, Ken Clement berkata, pihaknya berbesar hati untuk memulakan kerjasama jangka panjang dengan Duopharma untuk membawa fitofarmaseutikal ke Malaysia dan rantau ASEAN.

 

"Teknologi teras Kensana Health terletak pada keupayaan kami untuk menyeragamkan pertumbuhan sebatian semula jadi daripada tumbuhan ubatan yang diketahui.

 

"Kami kini dalam peringkat pembangunan membina sebuah kemudahan phytopharmaceutical bertaraf dunia Kesatuan Eropah (EUGMP), kemudahan fitofarmaseutikal yang diperakui Halal di Malaysia," katanya. - DagangNews.com