KUALA LUMPUR 8 Julai – Infomina Berhad memperoleh tender Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bernilai RM21.13 juta bagi menyediakan perkhidmatan infrastruktur teknologi komunikasi maklumat (ICT).
Ia melibatkan operasi, penyelenggaraan dan sokongan infrastruktur teknologi di lebih 170 cawangan JPJ di seluruh negara, yang mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia rumusan ICT sektor awam.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata, surat penganugerahan diterima daripada jabatan berkenaan pada 7 Julai 2026, dengan tempoh kontrak 36 bulan bermula 1 Ogos 2026.
"Skop perkhidmatan tersebut turut merangkumi aspek sokongan teknikal terhadap infrastruktur ICT di pejabat cawangan JPJ di seluruh negara, termasuk kenderaan bergerak agensi itu," kata Infomina.
Kumpulan itu menambah, nilai keseluruhan kontrak terbaharu berkenaan adalah RM21,129,125.27, termasuk dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), bagi keseluruhan tempoh pelaksanaan.
Pada masa sama, syarikat tersebut menjelaskan, sebarang pembaharuan atau lanjutan kontrak berkenaan selepas tamat tempoh yang ditetapkan itu adalah tertakluk kepada budi bicara pihak JPJ sendiri.
Infomina menjelaskan, kontrak tersebut dijangka dapat memberikan sumbangan positif kepada pendapatan dan keuntungan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaannya sehingga 31 Julai 2029.
"Dari segi risiko pula, pelaksanaan kontrak ini dijangka tidak melibatkan sebarang faktor risiko baharu selain risiko operasi biasa yang kelaziman dihadapi dalam mana-mana perniagaan sedia ada," katanya lagi.
Lembaga pengarah kumpulan berkenaan menyifatkan langkah penerimaan tender tersebut adalah dalam urusan biasa perniagaan dan demi kepentingan terbaik syarikat itu untuk jangka sederhana.
Selain itu, tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang mempunyai kaitan dengan mereka ada sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak. - DagangNews.com








