KUALA LUMPUR 8 Julai – PETRONAS Carigali Sdn Bhd memeterai perjanjian pembangunan bersama (JDA) ketiga dengan IBM Malaysia Sdn Bhd dan Tridiagonal.AI Pvt Ltd (T.AI) bagi mempercepatkan pembangunan rumusan kecerdasan buatan (AI) menerusi inisiatif TriCipta AI.
Kerjasama itu bertujuan memperluaskan penggunaan AI dalam rantaian nilai operasi huluan PETRONAS khususnya untuk meningkatkan kecekapan operasi, mengoptimumkan keputusan berkaitan pengeluaran dan penyelenggaraan, selain memaksimumkan nilai aset huluan syarikat.
TriCipta AI merupakan model kerjasama strategik yang menggabungkan kepakaran teknikal mendalam dalam industri minyak dan gas dengan kepakaran teknologi AI bagi membangunkan serta melaksanakan penyelesaian pintar yang mampu memberi impak perniagaan boleh diukur dan kelebihan daya saing berterusan kepada PETRONAS.
Kerjasama Ketiga Fokus Optimumkan Peralatan Operasi Huluan
Menerusi JDA terbaharu itu, IBM akan menyumbang kepakaran dalam penyelesaian serta perkhidmatan teknologi maklumat berasaskan AI, manakala T.AI menyediakan penyelesaian AI berasaskan kejuruteraan dan domain industri bagi membangunkan rangkaian penyelesaian menyeluruh untuk pengoptimuman peralatan permukaan.
Ia akan memperkukuh keupayaan operasi huluan PETRONAS menerusi penggunaan AI bagi meningkatkan kebolehpercayaan peralatan, menyokong keputusan penyelenggaraan yang lebih tepat serta membantu mengoptimumkan prestasi aset.
Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Carigali, Hazli Sham Kassim berkata, penggunaan AI oleh syarikat bukan sekadar untuk memperkemas aliran kerja, sebaliknya diterapkan bagi meningkatkan prestasi kewangan, kebolehpercayaan aset dan mempercepatkan tempoh untuk merealisasikan nilai daripada teknologi tersebut.
“Kami bukan hanya menggunakan AI untuk memperbaiki proses kerja, sebaliknya menerapkannya bagi meningkatkan prestasi keuntungan, kebolehpercayaan aset serta mempercepatkan nilai yang diperoleh daripada teknologi ini.
“Dengan menjadikan AI sebagai alat sokongan, tenaga kerja kami dapat menangani cabaran operasi dan membuat keputusan kritikal dengan lebih pantas serta tepat,” katanya.
Majlis pemeteraian perjanjian itu turut dihadiri Ketua TriCipta AI, Ina Czarina Arief Tham; Rakan Pengurusan IBM Consulting Malaysia, Devabalan Theyventheran serta Ketua Pegawai Eksekutif T.AI, Pravin Jain.
PETRONAS perkukuh transformasi digital menerusi inovasi AI
Perjanjian terbaharu itu merupakan kesinambungan kepada dua JDA terdahulu yang dimeterai pada 2025, yang menyaksikan PETRONAS memperluaskan penggunaan AI dalam bidang berkaitan penerokaan dan analisis data.
Menerusi kerjasama sebelum ini, PETRONAS Carigali telah berjaya melaksanakan AI.SEEK serta analisis dan saringan lembangan penerokaan global berasaskan AI.
Kedua-duanya membantu PETRONAS mengubah dan menyatukan data geosains yang kompleks kepada risikan geospatial berasaskan AI secara automatik, seterusnya meningkatkan kecekapan operasi, membuka peluang bernilai tinggi serta meningkatkan kebarangkalian kejayaan aktiviti penerokaan.
PETRONAS berkata, kejayaan TriCipta AI membuktikan kepentingan kerjasama strategik, pelaburan bersama dan perkongsian risiko antara PETRONAS, pakar domain serta peneraju teknologi AI dalam menghasilkan penyelesaian yang memberi kelebihan daya saing dalam operasi huluan.
Inisiatif itu turut mengukuhkan komitmen PETRONAS dalam memanfaatkan teknologi canggih bagi mempercepat transformasi digital, meningkatkan ketangkasan organisasi serta memperkukuh daya tahan syarikat sebagai pemain tenaga global berprestasi tinggi. - DagangNews.com








