Duopharma Biotech sasar capai neutraliti karbon menjelang 2030 | DagangNews Skip to main content

Duopharma Biotech sasar capai neutraliti karbon menjelang 2030

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mac - Lembaga Pengarah Duopharma Biotech Berhad (Duopharma Biotech) mengumumkan ikrar alam sekitar bersempena dengan pelan hala tuju Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) terbarunya. 

 

Bagi tonggak alam sekitar dalam strategi ESG, syarikat menyasarkan prestasi iklim sebagai bidang tumpuan utama, bertujuan untuk mengurangkan dan meminimumkan aktiviti yang menyumbang kepada kesan iklim yang buruk. 

 

Duopharma Biotech berhasrat untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2030, pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dan menggantikan 50% penggunaan plastik sekali guna dengan plastik biodegradasi dalam operasinya menjelang 2026.

 

Pengarah Urusan Kumpulannya, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, syarikat telah menyelaraskan ikrar alam sekitar yang terdapat di dalam pelan hala tuju ESG selari dengan sasaran alam sekitar kerajaan serta Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

 

Beliau berkata, dalam mencapai matlamat alam sekitar, adalah penting untuk mengadakan kerjasama dengan organisasi yang berfikiran serupa. 

 

"Untuk sasaran pencapaian iklim, kami bekerjasama dengan United Nations Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) melatih pasukan kami tentang kesedaran iklim, neutraliti karbon dan kesedaran sifar bersih, serta untuk Laporan Kemapanan Tahunan yang diterbitkan dalam talian untuk disemak semua pelabur dan pihak berkepentingan.

 

"Memandangkan sains iklim masih menyaksikan perkembangan baharu, kami tentu sekali memberikan perhatian yang teliti dalam melaksanakan pengetahuan baharu ke dalam strategi kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Leonard berkata, untuk mana-mana organisasi, kunci mencapai matlamat ESG ialah menyepadukan sepenuhnya matlamat itu dengan seluruh operasi serta usaha yang dilakukan. 

 

"Inisiatif ESG tidak boleh dilihat sebagai usaha sampingan kepada perniagaan utama tetapi sebaliknya ia harus menjadi tunjang kepada operasi syarikat secara menyeluruh. 

 

"Sejak Duopharma Biotech memulakan perjalanan ESG pada 2016, kami telah menyediakan struktur dan sistem untuk mewujudkan tahap kesedaran tinggi dalam kalangan semua kakitangan bagi menyelaraskan strategi perniagaan dengan strategi dan matlamat ESG kami. Kami yakin inisiatif ini akan membantu mencapai matlamat iklim dan juga matlamat ESG lain," katanya. - DagangNews.com