DS Sigma bermula kukuh di Bursa Malaysia dengan premium 26 sen daripada IPO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DS Sigma bermula kukuh di Bursa Malaysia dengan premium 26 sen daripada IPO

KUALA LUMPUR 6 Jan - Penyedia produk pembungkusan, DS Sigma Holdings Bhd. bermula cemerlang di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd. apabila dibuka pada 81 sen — premium 26 sen atau 47% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 55 sen.

 

Dalam sesi pembukaan itu, sebanyak 12.45 juta saham bertukar tangan. 

 

IPO DS Sigma terdiri daripada terbitan 91.18 juta saham biasa baharu, dan syarikat itu menjangkakan untuk mengumpul RM50.15 juta daripada langkah tersebut.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak RM17.2 juta daripada jumlah itu akan digunakan bagi mengembangkan kemudahan operasinya dan RM16 juta untuk pembelian jentera dan peralatan baharu.

 

Sementara itu, sejumlah RM1.14 juta lagi akan disalurkan ke arah penubuhan pusat reka bentuk dan inovasi pembungkusan manakala RM6 juta akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank dan RM5.41 juta adalah untuk modal kerja manakala baki akan diperuntukkan untuk perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

 

Syarikat juga merancang untuk melabur dalam mesin robotik dan pembungkusan automatik sebagai sebahagian daripada rancangan masa depannya.

 

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Urusan DS Sigma, Lucille Teoh Soo Lien berkata, kumpulan berhasrat untuk mengembangkan perniagaan dalam pasaran baharu dengan meningkatkan pangkalan pelanggan bagi memanfaatkan industri solar fotovoltaik dan peranti perubatan.

 

Di samping itu, katanya, kumpulan juga akan meningkatkan kapasiti melalui penubuhan kilang tambahan di Klang, Selangor, serta mengembangkan operasi perniagaan di Pulau Pinang.

 

"Kami yakin pelaksanaan penyenaraian ini akan meningkatkan profil DS Sigma yang akan membantu mengembangkan bahagian pasaran kami di samping menyasarkan pasaran baharu," katanya. - DagangNews.com