KUALA LUMPUR 7 April - Projek Pembangunan Automotive High-Tech Valley (AHTV) menyasarkan untuk menarik pelaburan daripada pelbagai syarikat global dalam industri automotif berteknologi tinggi baharu.
DRB-Hicom dalam kenyataan hari ini menegaskan, projek AHTV yang disasarkan sebagai hab untuk menarik pelaburan sebanyak RM32 bilion dalam tempoh pembangunan 10 tahun bukanlah pelaburan eksklusif kepada penganjur utama projek, iaitu DRB-Hicom dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) sahaja.
Katanya, pihaknya juga ingin menggariskan bahawa projek tersebut disasar menarik penyertaan dan pelaburan daripada syarikat asing dan tempatan.
"Ini dijangka membawa pelaburan kolektif ke kawasan AHTV bernilai anggaran RM32 bilion oleh semua pihak dan bukan sahaja DRB-Hicom dan/atau Geely," katanya.
Terdahulu, DRB-Hicom dan Geely memeterai Dasar-Dasar Utama Perjanjian (HoA) bagi mengukuhkan jalinan kerjasama antara kedua-dua syarikat bagi fasa seterusnya, pada 1 April 2023 di Beijing, China.
Menurut DRB-Hicom, rancangan Proton untuk memindahkan sepenuhnya kemudahan pengeluarannya ke Tanjung Malim menjelang 2026 juga akan mewujudkan bandar baharu yang rancak di situ sekali gus meningkatkan ekonomi domestik dengan menarik syarikat runcit untuk beroperasi di kawasan itu.
"DRB-Hicom percaya bahawa AHTV adalah langkah ke hadapan yang tepat untuk Malaysia dalam ruang teknologi automotif baharu, dan kemasukan pelbagai pelabur global memberi manfaat yang baik kepada industri dan ekonomi domestik, serta menambah nilai kepada landskap automotif negara," katanya. - DagangNews.com








