Dr Ismet Yusoff dilantik sebagai CEO baharu MSWG berkuat kuasa serta-merta | DagangNews Skip to main content

Dr Ismet Yusoff dilantik sebagai CEO baharu MSWG berkuat kuasa serta-merta

Dr Ismet Yusoff

KUALA LUMPUR 18 Mac - Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG) mengumumkan pelantikan Dr Ismet Yusoff sebagai ketua pegawai eksekutif baharunya berkuat kuasa serta-merta.

 

MSWG dalam kenyataan memaklumkan, Ismet mengambil alih peranan daripada Devanesan Evanson, yang bersara pada Disember tahun lalu.

 

Selain itu, MSWG juga melantik Selvarany Rasiah, bekas ketua pegawai pengawalseliaan dan ketua pegawai komersial Bursa Malaysia, sebagai pengarahnya.

 

Pengerusi MSWG, Datuk Mohd Nasir Ali berkata, pihaknya percaya dengan pengalaman dan kepimpinan mereka yang luas, MSWG akan terus berkembang maju sebagai badan pemantau terkemuka dan suara pemegang saham minoriti.

 

Sebelum pelantikan itu, Ismet adalah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia dan berkhidmat dengan Suruhanjaya Sekuriti, yang mana beliau memainkan peranan penting dalam membentuk landskap tadbir urus korporat Malaysia.

 

Sementara itu, Selvarany terlibat secara meluas dalam pembangunan dan pengawalseliaan pasaran modal, dan memainkan peranan aktif dalam mengukuhkan pasaran modal, selepas Krisis Kewangan Asia.

 

MSWG telah ditubuhkan pada tahun 2000 di bawah inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemegang saham minoriti dan perkara tadbir urus korporat, melalui aktivisme pemegang saham dan penglibatan dengan pihak berkepentingan.

 

Kumpulan bukan untung itu dibiayai oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal, serta melalui jualan produk dan perkhidmatannya sendiri. - DagangNews.com