Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Dis - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mencadangkan lima langkah yang boleh diambil oleh agensi-agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menangani krisis ekonomi dan membantu rakyat khususnya kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Presiden DPMM, Dr Abd Halim Husin berkata, pihaknya berharap agensi-agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dapat mengikut langkah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam mencari jalan terbaik membantu rakyat bukan sahaja dari aspek melonggarkan syarat berbentuk fiskal semata-mata tetapi penguatkuasaan yang lebih telus.
Ujarnya, LHDN telah mengambil langkah proaktif menangani krisis yang telah menjejaskan kelangsungan para usahawan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan, khususnya dalam kalangan PMKS Melayu dan bumiputera.
“Langkah- langkah yang lebih pragmatik perlu diambil bagi menormalisasikan semua kehidupan masyarakat, antara langkah pertama adalah pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM1,200 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada mereka yang mempunyai pendapatan RM5,000 dan ke bawah.
“Bantuan tersebut seharusnya dinikmati bersama oleh sektor ekonomi informal termasuk pertanian dan lain-lain.
“Langkah kedua, semua bentuk premis termasuk premis perniagaan yang menerima manfaat moratorium diberi penangguhan bayaran sewa dan tiada tindakan pengusiran atau pengisytiharan muflis sekurang-kurangnya sehingga enam bulan selepas tempoh moratorium berakhir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abd Halim berkata, langkah ketiga adalah dengan pembekuan pembayaran atau pengecualian bayaran caj utiliti, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama enam bulan untuk sektor PMKS serta tawaran rebat oleh operator telekomunikasi untuk panggilan serta penggunaan internet tanpa wayar.
Dan yang terakhir katanya untuk memastikan syarikat-syarikat perbankan melonggarkan syarat-syarat kewangan mereka, khususnya dana yang disalurkan dari kerajaan atau lebih ramai PMKS menerima bantuan serta kemudahan kredit.
DPMM yang diasaskan pada 1938 sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam usaha memastikan setiap polisi, dasar, dan wawasan negara tidak tercicir untuk terus membela dan memperbaiki masa depan orang Melayu dan golongan Bumiputera.
"Walaupun kita masih dibayangi oleh ketidaktentuan pandemik COVID-19, dimana kumpulan yang paling terkesan dengan wabak ini pula adalah dari kalangan peniaga kecil dan sederhana Melayu; DPMM telah menggandakan upaya disamping menyebar-luaskan lagi jaringan kami ke perbagai peringkat teraju kepimpinan serta masyarakat," katanya. -DagangNews.com








