DOSM lancar inovasi pendigitalan statistik negara, Statsdigital di UiTM Shah Alam  | DagangNews Skip to main content

DOSM lancar inovasi pendigitalan statistik negara, Statsdigital di UiTM Shah Alam 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Okt - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melancarkan kiosk Statsdigital di Perpustakaan Tun Abdul Razak, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor bagi melestarikan penerbitan jabatan itu sebagai khazanah warisan negara. 

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, StatsDigital mentransformasikan penerbitan dan laporan berbentuk fizikal kepada bentuk digital dan dipadukan bersama set data yang boleh dicapai oleh semua peringkat pengguna melalui portal StatsDigital yang boleh diakses di pautan https://statsdigital.stats.gov.my/.

 

Katanya, pengguna luar DOSM termasuk warga akademik UiTM, boleh mendapatkan salinan penerbitan secara digital sama ada penerbitan sejarah seawal 1891 hinggalah penerbitan terkini. 

 

"Sejumlah 3,181 buah penerbitan disimpan melalui platform berpusat StatsDigital. Inisiatif pendigitalan penerbitan ini dicetuskan apabila terdapat penerbitan terdahulu yang hanya mempunyai dokumen secara fizikal. 

 

"Situasi ini dikhuatiri sekiranya penerbitan dan data lampau ini akan hilang dan sukar untuk diakses oleh pengguna luar malahan warga DOSM sendiri," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Mohd Uzir, pada 2022, projek StatsDigital ditambah baik melibatkan penambahan modul baharu iaitu modul penerbitan lain.

 

"Modul ini memfokuskan kepada menerbit penerbitan DOSM dalam bentuk digital dan dilengkapi dengan teknologi 'auto flipbook' bagi memudahkan pengguna untuk mengakses penerbitan dan statistik menerusi pelbagai peranti termasuk Kiosk StatsDigital yang ditempatkan di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM hari ini.

 

 

dosm
Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin ketika berucap merasmikan pelancaran kiosk Statsdigital di Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Shah Alam, Selangor pada 21 Oktober 2023. - Gambar Facebook DOSM

 

 

"Semenjak 2018, pengunjung StatsDigital meningkat saban tahun. Sehingga yang terkini, pengunjung 'preview e-Book' penerbitan DOSM adalah sebanyak 733,841, malah daripada jumlah tersebut pengunjung yang memuat turun penerbitan adalah sebanyak 17,549 penerbitan," katanya.

 

Beliau berkata, selain dalam negara, portal StatsDigital turut diakses pengunjung antarabangsa antaranya termasuk Amerika Syarikat, India, Singapura, Hong Kong,dan Jepun.

 

Berkenaan penerbitan yang paling popular dalam kalangan pengunjung di platform StatsDigital, termasuk Indeks Harga Pengguna Malaysia, Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia, Perangkaan Getah Bulanan Malaysia, dan penerbitan sejarah seperti Laporan Perumahan Negeri Sabah 1980 dan Perangkaan Penting Malaysia Barat 1966 dan lain-lain penerbitan.

 

Katanya, daripada penerbitan berbentuk digital itu, pihak DOSM maju selangkah lagi dengan membekalkan data siri masa seperti statistik penduduk dari 1970 hingga 2020, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) (dari tahun 1947 hingga tahun 2022), statistik tenaga buruh (tahun 1982 hingga tahun 2022), dan banyak lagi statistik siri masa yang boleh dimanfaatkan rakyat serta warga akademik, pensyarah dan mahasiswa/mahasiswi sebagai input melaksanakan pelbagai kajian.

 

Beliau berharap StatsDigital mampu memberi manfaat yang besar kepada warga akademik khususnya para pensyarah dan para mahasiswa/mahasiswi dalam konteks memperoleh sumber rujukan statistik yang bernilai tinggi di samping mempertingkatkan budaya penggunaan data. - DagangNews.com