KUALA LUMPUR 29 April - Digi.com Bhd merekodkan untung bersih yang lebih rendah pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 sebanyak RM236.15 juta daripada RM264.83 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan bagi tempoh itu juga berkurangan 1.8% tahun ke tahun kepada RM1.52 bilion berbanding RM1.55 bilion bagi tempoh sama 2021, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Ia turut menyaksikan pendapatan sesahamnya susut kepada 3.04 sen daripada 3.41 sen pada suku pertama 2021.
Digi.com mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 2.9 sen sesaham, bersamaan dengan RM225 juta pembayaran dividen.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eeksekutif dan Ketua Pegawai Pemasaran Praveen Rajan dalam kenyataan berkata, cadangan penggabungan antara Celcom Axiata Bhd. dan unit Digi, Digi Telecommunications Sdn Bhd. masih berjalan seperti yang dirancang dan penyelesaiannya adalah tertakluk kepada penerimaan kelulusan kawal selia, kelulusan oleh semua pemegang saham serta terma dan syarat-syarat biasa yang lain.
“Dengan lebih banyak sekatan berkaitan COVID-19 ditarik balik dan sempadan dibuka semula, kami menjangkakan peningkatan dalam aktiviti komersial dan pelancongan yang akan mendorong permintaan untuk perkhidmatan perayauan," katanya.
Menurutnya, penyedia perkhidmatan kesalinghubungan mudah alih dan internet itu terus mengutamakan usaha untuk memenuhi jangkaan pelanggan perniagaandan penggunanya daripada semua segmen. - DagangNews.com








