KUALA LUMPUR 26 April - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Dialog Group Bhd. dengan nilai wajar pada RM3.75 sesaham, yang mencerminkan penarafan neutral ESG dengan 3 bintang.
Firma itu tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran pendapatan sementara menanti laporan kewangan bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2022 yang dijangka diumumkan 17 Mei ini.
Menurutnya, kumpulan dijangka mencatat prestasi yang lebih kukuh pada separuh kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22) didorong pembukaan semula sempadan antarabangsa dan kelonggaran sekatan pergerakan.
Katanya, pada suku kedua, margin pracukai Dialog meningkat 3% mata suku ke suku kepada 47%, membuat kesimpulan bahawa kumpulan sudah dalam proses mengurangkan kos operasinya.
"Walaupun Dialog masih mengalami gangguan rantaian bekalan yang pada mulanya disebabkan pandemik COVID-19, tetapi kumpulan itu telah memperoleh bahan mentah, alat ganti dan peralatan selepas mendapatkan kontrak semasa.
"Oleh itu, pihak pengurusan berpandangan bahawa kesan inflasi daripada gangguan bekalan banyak diimbangi oleh strategi perolehan kumpulan yang telah terbukti selama ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Berdasarkan taklimat dengan pengurusan kumpulan baru-baru ini, AmInvestment berkata, Dialog mendapatkan bahan mentah dan alat ganti dari Shanghai, yang kini sedang menjalani sekatan ketat bagi mengekang penularan Omicron di bawah arahan sifar-COVID China.
Selain itu, pengurusan juga mendapatkan sumber dari negara lain untuk mengurangkan risiko gangguan dari mana-mana negara.
Pada masa sama, kumpulan mengesahkan bahawa Dialog tidak dikenakan sebarang caj penghantaran lewat membabitkan mana-mana projek semasa sekatan pada 2020 hingga 2021.
Malah, menurutnya, kumpulan masih dalam perbincangan dengan pelanggan untuk memulihkan beberapa kos berkaitan COVID-19 yang ditanggung pada FY21 dan separuh pertama FY22, yang mungkin termasuk dalam pembayaran kontrak masa depan dalam jangka panjang.
AmInvestment berkata, Dialog ketika ini didagangkan dengan nilai perusahaan (PE) sebanyak 22x bagi FY23 yang menarik, di bawah 5 tahun puncak 40x.
"Kami percaya Dialog layak mendapat penilaian premium melebihi pemain industri lain memandangkan perniagaan penjanaan aliran tunai berulang jangka panjangnya disokong oleh penarafan semula nilai berbilang tahun bagi pembangunan Pengerang dan tahap penggearan bersih yang rendah," tambahnya.
Setakat 11.10 pagi ini, harga sahamnya menokok 2 sen atau 0.78% kepada RM2.59 dengan 475,000 saham diniagakan. - DagangNews.com








