Di sebalik ancaman Omicron, IPP Malaysia dijangka bertambah baik akhir tahun ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Di sebalik ancaman Omicron, IPP Malaysia dijangka bertambah baik akhir tahun ini

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 13 Dis - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia dijangka terus mencatat pengembangan menjelang akhir 2021, menurut firma-firma penyelidikan dalam nota kajian masing-masing.

 

Jumaat lalu, data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan IPP mengukuh kepada 5.5%, dengan indeks pembuatan memacu pertumbuhan 8% pada Oktober 2021 selain disokong indeks elektrik yang meningkat 4.1%

 

Dari segi perbandingan bulan ke bulan, IPP meningkat 4.8% didorong oleh sektor pembuatan dan elektrik.

 

Kenanga Research dalam nota kajian hari ini berkata, pengukuhan IPP pembuatan pada bulan-bulan terakhir ini akan disokong oleh peningkatan berterusan permintaan domestik dan aktiviti dagangan luar.

 

Pada masa sama, katanya, indeks pengurus pembelian (PMI) Malaysia yang meningkat kepada 52.3 pada November juga akan menyokong pertumbuhan IPP.

 

"Bagaimanapun, risiko penurunan disebabkan varian Omicron masih wujud, yang kemungkinan akan membawa kepada langkah sekatan sekiranya ia mencetuskan gelombang baharu jangkitan COVID-19.

 

"Mengambil kira faktor ini, kami mengekalkan anggaran pertumbuhan IPP pada 8.5% pada tahun ini berbanding -2.7% tahun lalu," katanya.

 

Firma tersebut turut mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 3.5 hingga 4.5% manakala 5.5 hingga 6% bagi 2022. 

 

Sementara itu, MIDF Research turut mengekalkan unjuran IPP Malaysia tahun ini dengan  berkembang 9%, sejajar dengan unjuran tahun penuhnya.

 

Menurutnya, perniagaan tempatan telah meningkatkan aktiviti pengeluaran berikutan pembukaan semula ekonomi dan pertambahan permintaan selepas pelaksanaan sepenuhnya kawalan pergerakan pada awal tahun ini.

 

"Pertumbuhan yang berterusan dalam permintaan asing turut menyokong output pengeluaran yang lebih kukuh, terutamanya bagi produk elektrik dan elektronik (E&E) dan petroleum bertapis.

 

“Dengan PMI Pembuatan Malaysia kekal melebihi 50, kami yakin pertumbuhan IPP akan berterusan pada November 2021,” katanya.

 

Bagaimanapun,  firma itu berkata, peningkatan kos pengeluaran, harga komoditi tinggi dan kekangan bekalan lain merupakan risiko yang boleh menjejaskan unjuran pengeluaran, di samping kemunculan varian Omicron.

 

Hong Leong Investment Bank pula berkata, sentimen global masih kekal positif, meskipun pengeluar menjangkakan terdapat ketidaktentuan ekoran gangguan rangkaian bekalan, yang dijangka berkurangan pada tahun hadapan.

 

"Walaupun berdepan ketidaktentuan ini, tetapi penarikan balik langkah sekatan di peringkat domestik dan antarabangsa akan terus meningkatkan permintaan dan menyokong aktiviti pembuatan di Malaysia.

 

"Sehubungan itu, kami mengekalkan unjuran KDNK bagi 2021 pada 3.5%," katanya. - DagangNews.com