KUALA LUMPUR 26 Julai - Daythree Digital Berhad membuat penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 65 sen sesaham, premium 35 sen atau 116.67% lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 30 sen sesaham.
Penyedia perkhidmatan perniagaan global (GBS) dipacu teknologi itu menyaksikan 93.38 juta saham didagangkan pada pagi ini dan pada 30 sen sesaham, kumpulan itu dijangka mempunyai modal pasaran sebanyak RM144 juta selepas IPO.
Pengarah urusannya, Raymond Davadass berkata penyenaraian itu adalah perkembangan positif dan memberikan lebih fleksibiliti kewangan untuk meningkatkan reputasi kumpulan serya menarik lebih ramai pekerja mahir ke dalam industri itu.
"Hakikat bahawa bahagian awam tawaran awam permulaan (IPO) kami terlebih langgan sebanyak 129.2 kali dan langganan penuh dengan penempatan peribadi dan ia menunjukkan keyakinan pelabur kepada kami.
"Ia adalah bukti kerja keras dan dedikasi pasukan berbakat kami yang tidak henti-henti mengejar inovasi, kreativiti dan kecemerlangan dalam setiap perkara yang kami lakukan," katanya.
Daripada penyenaraian itu, kumpulan itu telah mengumpul RM33.12 juta, yang sebahagian besarnya (RM14.7 juta) diperuntukkan untuk modal kerja bagi merekrut 380 tambahan eksekutif pengalaman pelanggan, serta RM3.02 juta untuk merekrut pakar industri untuk menangkap peluang pertumbuhan dalam landskap GBS tempatan.
RM7.1 juta lagi akan digunakan untuk membiayai sebahagian ruang kerja tambahan dan pembesaran ibu pejabatnya, RM3 juta untuk perbelanjaan modal dalam infrastruktur rangkaian, RM1.5 juta untuk aktiviti pemasaran dan promosi, dan terakhir, RM3.8 juta untuk membiayai anggaran perbelanjaan penyenaraian.
Terdahulu, TA Securities menilai kumpulan itu pada 42 sen dengan mengambil kira prospek pertumbuhan pendapatan kumpulan yang teguh dan berada pada kedudukan untuk mendapat manfaat daripada minat yang semakin meningkat oleh perniagaan untuk meneruskan transformasi digital, termasuk penglibatan GBS.
Sementara itu, PublicInvest Research menilai kumpulan itu pada 40 sen berdasarkan unjuran pendapatan FY24 didorong oleh pengembangan ruang pejabatnya dengan persediaan pejabat penghantaran pengalaman pelanggan baharu dimaksudkan untuk pelanggan baharu yang dijangka akan diperoleh, pengambilan pakar industri, penyediaan pusat pemantauan rangkaian, dan pengukuhan usaha penjenamaan.
M&A Securities Sdn Bhd ialah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO.- DagangNews.com








