Datuk Muslim Hussain dilantik sebagai pengerusi baharu SME Bank | DagangNews Skip to main content

Datuk Muslim Hussain dilantik sebagai pengerusi baharu SME Bank

Datuk Muslim Hussain
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Okt - SME Bank mengumumkan pelantikan Datuk Muslim Hussain sebagai pengerusi bukan eksekutif baharu berkuat kuasa 1 Oktober 2023. 

 

SME Bank memaklumkan, beliau membawa bersama pengalaman kerjaya yang luas dalam sektor perbankan, serta latar belakang kukuh dalam pengurusan risiko, dasar kredit dan pengurusan portfolio.

 

Katanya, Muslim telah berkhidmat dengan SME Bank sejak 1 September 2018, apabila beliau dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif. 

 

"Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pengerusi jawatankuasa lembaga pengurusan risiko dan juga berkhidmat sebagai ahli jawatankuasa lembaga pembiayaan dan pelaburan, jawatankuasa lembaga audit serta jawatankuasa lembaga teknologi maklumat SME Bank.

 

"Kerjaya perbankan Muslim menjangkau lebih 35 tahun, yang mana beliau memegang jawatan dalam Maybank dan Agrobank. 

 

"Beliau berkhidmat sebagai ketua pegawai risiko Agrobank dari 2011 hingga 2016, mempamerkan kepakarannya dalam pengurusan risiko. Di Maybank, beliau memegang pelbagai jawatan kanan, termasuk peranan dalam pengurusan risiko, polisi kredit, pengurusan portfolio, dan penilaian kredit," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, Muslim merupakan graduan lulusan Universiti Malaya pada 1982 dan beliau juga pernah belajar di Maktab Polis Diraja Malaysia pada tahun 1983.

 

Katanya, pelantikan Muslim sebagai pengerusi bukan eksekutif menekankan komitmen SME Bank terhadap kecemerlangan kepimpinan dan tumpuannya untuk memupuk pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia. 

 

"Pengalaman dan pengetahuan beliau dalam pengurusan risiko dan operasi perbankan meletakkan beliau sebagai peneraju strategik yang bersedia untuk mengemudi SME Bank ke arah kejayaan yang berterusan.

 

"SME Bank yakin kepimpinan Muslim akan meningkatkan lagi misi SME Bank untuk memperkasa dan memartabatkan PKS di Malaysia," katanya. 

 

Katanya, kepakaran beliau akan memainkan peranan penting dalam membimbing SME Bank ke tahap kejayaan baharu dalam landskap kewangan yang dinamik. - DagangNews.com