KUALA LUMPUR 6 Mei - Datasonic Group Bhd. meraih pengiktirafan sempena Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2022 menerusi Anugerah Organisasi Bukan Berteraskan Keuntungan - Keselamatan Siber.
Anugerah itu mengiktiraf kejayaan dan inovasi Datasonic yang memperkenalkan teknologi kawalan sempadan secara elektronik (e-gate).
Secara dasarnya, kumpulan telah terlibat dalam penyelesaian teknologi sebagai pembekal di pintu masuk Malaysia, bagi menjamin keselamatan negara sejak 2017.
Perkhidmatan e-gate yang disediakannya berfungsi sebagai sistem kawalan sempadan automatik layan diri, menggabungkan bersama teknologi terkini dan inovasi dalam perkakasan dan perisian pemadanan biometrik berbilang modal, menghasilkan pemprosesan pengembara yang lebih selamat dan cekap.
Ia mengandungi ciri-ciri yang direka khas untuk keselamatan dan kelajuan termasuk pengesahan 2 langkah menggunakan e-pasport pengembara dan pengesahan biometrik (muka, cap jari, iris) dan mempercepatkan barisan untuk pelepasan di pusat pemeriksaan sempadan.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan ciri-ciri lain seperti keselamatan yang dipertingkatkan dan pencegahan kecurian identiti, sistem pemantauan pusat untuk penyeliaan penyelarasan kakitangan sokongan, analisis data dan perisian pelaporan untuk mengenal pasti arah aliran dan keperluan yang berpotensi dalam aliran trafik, dan pengesanan anti-penipuan.
Dengan menggunakan teknologi pengecaman muka, ia membolehkan perkhidmatan e-gate yang disediakan Datasonic menjalankan pengesahan identiti dibantu dengan pengecaman cap jari, enjin pengecaman muka dalaman yang dioptimumkan khusus kepada Malaysia dan ASEAN, terbukti mempunyai ketepatan yang lebih tinggi dalam analisis dan perbandingan muka berbanding pemain pasaran yang lain.
Sistem ini disepadukan dengan Liveness Detection, melindungi data dan mempertingkatkan kebolehpercayaan sistem keselamatan terhadap penipuan.
Di samping itu, Datasonic juga membangunkan pelbagai variasi untuk e-gate mereka bagi memenuhi keperluan pelanggan dan industri yang berbeza.
Bagi variasi Gen-1, ia menawarkan masa pelepasan 15 saat untuk pengembara manakala Gen-2 pula memperkenalkan ciri bacaan pasport yang mudah.
Variasi GR-1000 pula menyokong gabungan biometrik untuk pengembara diikuti KF-20 dan MG 2000 , yang menyokong pelbagai dokumen keselamatan seperti kad pengenalan, pasport dan biometrik pelbagai mod.
Setiap variasi tersebut mempunyai kelebihan tersendiri berbanding yang lain, seperti proses pelepasan Gen-2 yang lebih pantas selama 5 saat berbanding konfigurasi dwiarah Gen-1 atau KF-20 yang membolehkannya menjadi lebih fleksibel daripada varian lain.
Dengan asas yang teguh dan lebih 2 dekad pengalaman dalam industri, Datasonic terus mengukuhkan kedudukannya sebagai perintis dan peneraju dalam industri dengan keupayaan dan penawaran produknya.
Kini, kumpulan menyasarkan untuk berkembang dalam pasaran baharu, di dalam dan luar negara dengan dengan rangkaian produk dan perkhidmatan perisian berskala besar, bersepadu dan bernilai tinggi khusus dalam aspek keselamatan.
Setakat 12.13 tengah hari ini, harga saham Datasonic menokok 1 sen atau 1.74% kepada 58.5 sen dengan 7.18 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








