KUALA LUMPUR 20 Mac - Seramai 149 anak-anak yatim dan asnaf dari lima pertubuhan kebajikan sekitar Lembah Klang diraikan dalam Majlis Iftar Ramadan Datasonic Group Bhd.
Lima pertubuhan itu, termasuk Pertubuhan Anak Yatim dan Asnaf An-Naafi, Rumah Perlindungan Nur Hati, Rumah Kasih Murni, Pusat Jagaan Rumah Kasih Nurul Hasanah dan Persatuan Pelari Anak Luar Biasa.
Pada majlis itu, setiap daripada mereka menerima sumbangan duit raya yang disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif Datasonic, Tengku Datuk Seri Abu Bakar Ahmad Tengku Abdullah.
Tengku Abu Bakar berkata, Iftar Ramadan Datasonic merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dianjurkan sejak dua tahun lepas sebagai peluang untuk syarikat menyantuni anak-anak yang kurang berkemampuan.
"Bagi pihak Datasonic, kami amat berharap semoga usaha ini dapat memberi makna dan mendorong lebih semangat kepada para anak-anak ini dalam menjalani ibadah puasa.
"Pada tahun-tahun sebelum ini Datasonic hanya meraikan golongan asnaf yang menjadi 'keluarga angkat' kami pada tahun tersebut, namun alhamdulillah pada tahun ini kami dapat berkongsi rezeki dengan seramai hampir 100 anak-anak asnaf dari tiga organisasi berbeza," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.


Menurut Tengku Abu Bakar, selain daripada penganjuran majlis itu, sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, Datasonic juga bakal menganjurkan pelbagai program CSR lain sepanjang 2024.
"Saya berharap agar inisiatif-inisiatif ini akan terus memberikan peluang dan pendedahan selain membantu kelangsungan hidup masyarakat serta pewaris masa depan negara," katanya. - DagangNews.com








