Dagangan saham Litrak akan digantung bermula 9 Ogos ini bagi memudahkan urusan bayaran balik modal | DagangNews Skip to main content

Dagangan saham Litrak akan digantung bermula 9 Ogos ini bagi memudahkan urusan bayaran balik modal

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Dagangan saham Lingkaran Trans Kota Holdings Berhad (Litrak) akan digantung berkuat kuasa 9 Ogos ini bagi memudahkan pelaksanaan pengurangan dan pembayaran balik modal syarikat.

 

Bayaran balik modal itu melibatkan pengagihan tunai sebanyak 50.63 sen bagi setiap saham yang dipegang, atau sejumlah RM275.78 juta. 

 

"Tarikh kelayakan untuk pembayaran balik modal ialah 10 Ogos," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Pada 6 April lalu, Litrak mengumumkan pembayaran balik modal selepas syarikat itu diklasifikasikan sebagai syarikat tunai berikutan pelupusan 100% pegangannya dalam Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. sebanyak RM2.33 bilion dan 50% kepentingannya dalam Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Sprint) untuk RM904 juta, kepada Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad.

 

Syarikat itu juga mengumumkan bahawa dagangan saham Litrak di Pasaran Utama akan terus digantung sehingga selesai pembayaran balik modal diikuti dengan penyahsenaraian sahamnya, selepas itu mereka berhasrat untuk menutup syarikat itu secara sukarela.

 

"Pemegang saham Litrak akan memegang saham Litrak tidak tersenarai sehingga proses penggulungan selesai dan berhak mendapat pengagihan tunai selanjutnya daripada baki tunai yang ada hasil daripada proses penggulungan," kata syarikat itu dalam satu maklumanpada 6 April lalu.

 

Saham Litrak diniagakan tidak berubah pada 51 sen pada Khamis (3 Ogos), menilai syarikat itu pada RM277.74 juta. - DagangNews.com