Dagangan Malaysia masih kekal membimbangkan - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dagangan Malaysia masih kekal membimbangkan - Penganalisis

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Jun - Perdagangan Malaysia bagi bulan-bulan akan datang dijangka terus mencabar terutamanya dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19. 

 

Menurut AmBank Research, tempoh 'lockdown' yang bermula 1 Jun lalu, secara tidak langsung menjejaskan rantaian bekalan daripada produk dan perkhidmatan penting termasuk tidak penting, dengan industri berorientasikan eksport boperasi pada kapasiti 60 peratus.

 

"Prospek aktiviti dagangan bagi Jun dan Julai akan terkesan dengan pelaksanaan PKP penuh ini. Tetapi, selepas Julai pula, ia bergantung kepada sejauh mana penularan pandemik ini dapat dikawal. 

 

"Faktor lain turut mengambil kira berapa pantas kadar vaksinasi, pembukaan semula ekonomi dan prosedur standard operasi (SOP) yang akan dilaksanakan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Menurut firma itu, sebarang kelewatan pembukaan ekonomi akan menyebabkan syarikat-syarikat besar memindahkan operasi mereka di syarikat induk ke tempat lain dan dalam masa sama mengurangkan kemasukan pelabur asing. 

 

"Sekiranya, semua berjalan seperti dirancang di Pelan Pemulihan Negara, prestasi eksport dijangka pulih pada suku keempat ini," tambahnya.

 

Kerajaan menguatkuasakan PKP penuh sejak 1 Jun yang kini dilanjutkan di bawah fasa pertama Pelan Pemulihan Negara sehingga kes jangkitan berada di bawah 4,000.

 

Dalam tempoh lima bulan pertama 2021, jumlah perdagangan Malaysia meningkat 26 peratus tahun ke tahun kepada RM867.4 bilion.

 

Lebihan dagangan pula melonjak 112.2 peratus kepada RM92.79 bilion dengan eksport mengembang 31.1 peratus kepada RM480.09 bilion sementara import meningkat 20.1 peratus kepada RM387.31 bilion.

 

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, prestasi perdagangan Malaysia mengekalkan trend peningkatan pada Mei 2021 dengan jumlah perdagangan berkembang sebanyak 48.7 peratus kepada RM170.88 bilion berbanding Mei 2020.

 


Baca : 2021 : Perdagangan Malaysia melonjak 26% Jan-Mei 

 

Sementara itu, MIDF Research mengekalkan unjuran pertumbuhan eksport dan import masing-masing tahun ini pada 13.5 peratus dan 12.7 peratus. 

 

Katanya, prestasi dagangan Malaysia dijangka pulih tahun ini, dengan membawa momentum yang kukuh sejak separuh kedua 2020 disokong oleh pembukaan semula ekonomi dan rantai bekalan global.

 

"Pelancaran vaksin beserta sokongan dasar fiskal dan monetari yang besar di ekonomi utama akan meningkatkan permintaan untuk produk Malaysia. 

 

"Kemasukan pelaburan juga dijangka meningkat dalam tempoh jangka panjang di tengah-tengah pelancaran vaksin," katanya. 

 

Bagaimanapun, firma itu kekal berhati-hati terhadap lonjakan semula kes jangkitan COVID-19 di negara dagangan utama yang boleh menjejaskan prospek dagangan negara.

 

CGS-CIMB pula berkata, prestasi eksport adalah lebih rendah disebabkan pengeluaran barangan yang perlahan dalam tempoh berkenaan.

 

Buat kali pertama dalam tempoh 13 bulan, import berkembang lebih tinggi pada 50.3 peratus, berbanding eksport, 47.3 peratus yang menyaksikan lebihan dagangan lebih kecil pada RM13.7 bilion.

 

"Dengan kekangan bagi industri untuk beroperasi di bawah fasa pertama dan kedua di bawah Pelan Pemulihan Negara, dijangka menjejaskan aliran dagangan sehingga Ogos 2021.

 

"Dalam masa sama, pertumbuhan dagangan juga akan menyederhana dengan ketara pada masa depan memandangkan kesan asas semakin berkurangan," katanya.

 

Namun, firma itu mengekalkan unjuran eksport dan import pada 14 peratus dan 14.5 peratus tahun ini. - DagangNews.com