KUALA LUMPUR 6 Mac - Cypark Resources Berhad (CRB) menangguhkan pembayaran kupon yang perlu dibayar pada 4 Mac 2024 untuk program sukuk kekal bagi mengutamakan dana penyiapan projek pada suku kedua tahun ini.
Pembayaran kupon tersebut melibatkan anak syarikatnya, Cypark Renewable Energy Sdn Bhd untuk program sukuk kekal berasaskan Musharakah bernilai RM500 juta yang ia sediakan untuk membiayai empat projek loji tenaga solar fotovoltaik.
“CRB kekal komited dalam pelaksanaan projek solar 270MW (megawatt) kami di Kelantan dan Terengganu, justeru telah mengambil keputusan untuk menangguhkan pembayaran kupon bagi program sukuk kekal kami untuk mengutamakan dana penyiapan projek pada suku kedua 2024.
“Penangguhan, yang dibenarkan mengikut syarat sukuk kekal, adalah keputusan strategik sebagai sebahagian daripada pengoptimuman hutang CRB dalam menyelaraskan kemudahan terhadap aset konsesi jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Cypark berkata, sukuk itu kekal terjamin memandangkan ia memerlukan 95% sapuan tunai daripada pendapatan yang dijana, berjumlah RM86.5 juta pada masa ini.
Ia menambah bahawa kumpulan itu mempunyai aliran tunai yang mencukupi untuk mencapai tarikh operasi komersial (COD) bagi projek yang sedang berjalan berikutan sokongan pemegang saham utamanya menerusi sukuk RM265 juta pada suku keempat 2023 serta kemudahan perbankan tersedia daripada jurubank utamanya.
RHB Investment Bank ialah penasihat utama/pengatur utama bagi ketiga-tiga peringkat program sukuk kekal berasaskan Musharakah yang tidak dinilai sehingga RM500 juta yang diterbitkan pada 2020 dan 2023.
Cypark kini sedang menyiapkan projek solar terapung LSS2 di Danau Tok Uban, Kelantan dan projek solar LSS3 di Merchang, Terengganu yang mengalami kelewatan.
Tarikh penyiapan projek LSS2 sebelum ini ditangguhkan sembilan bulan kepada September 2022 daripada akhir 2021, manakala penyiapan LSS3 telah ditangguh kepada akhir 2022 berbanding Mac 2022. - DagangNews.com








