KUALA LUMPUR 8 Sept - Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST) kini secara rasminya adalah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
CREST ialah entiti diterajui industri yang dilancarkan pada 2012 bagi memenuhi keperluan elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia dengan meningkatkan penyelidikan dan pembangunan, pengkomersialan dan pembangunan bakat.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, MITI mengalu-alukan kehadiran CREST sebagai agensi di bawah kementerian ini.
"CREST adalah penambahan strategik terhadap ekosistem MITI berikutan tumpuannya kepada industri E&E sebagai antara sektor yang meningkatkan kompleksiti ekonomi Malaysia di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030)," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Ahli CREST terdiri daripada wakil-wakil kerajaan, industri dan akademia, satu model yang memberi tumpuan untuk membangunkan sokongan holistik bagi pertumbuhan mampan industri E&E.
Tengku Zafrul berkata, melangkaui pelaksanaan langkah-langkah awal yang ditetapkan NIMP 2030, CREST juga akan menjadi antara agensi utama MITI untuk melonjakkan kedudukan industri semikonduktor Malaysia dalam rantaian nilai global.
"Ini seterusnya, akan membantu meningkatkan eksport E&E, yang menyumbang secara langsung kepada pendapatan pertukaran asing, dan sasaran Ekonomi MADANI untuk meletakkan negara dalam kedudukan 30 ekonomi teratas," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CREST, Jaffri Ibrahim pula berkata, pihaknya gembira menjadi sebahagian daripada MITI, dan kerjasama dengan pihak berkepentingan utama adalah bukti kepada komitmen CREST untuk memacu inovasi dan kecemerlangan dalam penyelidikan dan teknologi.
"Kami teruja untuk menyumbang kepakaran dan sumber kami terhadap kejayaan NIMP 2030 yang dilancarkan baru-baru ini dan memangkin pertumbuhan industri E&E. Kami berharap untuk bekerjasama dengan MITI dalam memacu pertumbuhan ekonomi menerusi inovasi, kerjasama dan pertumbuhan yang mampan," katanya.
Kewujudan CREST dalam tempoh 11 tahun ini telah menyaksikannya sebagai platform utama untuk penyelidikan gunaan kolaboratif dalam E&E, membolehkan industri berkembang maju untuk meraih kejayaan meliputi industri berkaitan, geografi dan pasaran utama.
Pada 2022, eksport E&E bernilai RM592.96 bilion, menyumbang sebanyak 38.3% daripada jumlah eksport Malaysia.
Sektor ini menarik sebanyak 106 projek pelaburan bernilai RM29.3 bilion pada tahun yang sama. Dari segi pekerjaan, sebanyak 9,099 pekerjaan bergaji tinggi di peringkat pengurusan, teknikal dan penyeliaan telah diwujudkan, iaitu tertinggi dalam kalangan semua industri pada 2022. - DagangNews.com








