PUTRAJAYA 27 April - Tempoh kuarantin dikurangkan sekiranya individu terbabit tidak lagi positif COVID-19 sebelum tempoh tujuh hari seperti ditetapkan kerajaan sebelum ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sebelum ini individu yang dijangkiti COVID-19 perlu menjalani kuarantin wajib selama tujuh hari.
Beliau berkata, jika kes berkenaan disahkan negatif pada hari keempat, ketika ujian RTK-Antigen yang diselia oleh pengamal perubatan, individu itu boleh dilepaskan daripada kuarantin.
"Sekiranya masih positif, individu berkenaan perlu melengkapkan tempoh pengasingan tujuh hari," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Khairy berkata, ujian tersebut hendaklah dilakukan menggunakan RTK antigen dengan penyeliaan oleh pengamal perubatan yang mendaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, sama ada secara fizikal ataupun secara maya.

"Keputusan ujian tersebut hendaklah dimasukkan ke dalam sistem eCOVID oleh pengamal perubatan bagi memastikan integrasi data dengan aplikasi MySejahtera dapat berlaku dalam tempoh kurang daripada satu jam, agar individu tersebut segera mendapat perintah pelepasan daripada pengasingan apabila keputusan ujian pengesanan tersebut negatif," katanya. - DagangNews.com








